Tempatan

Masalah Keputusan Kehakiman Kerana Tidak Faham Jurisprudens Watan – Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 April 2022 – “ Keadaan keputusan kehakiman yang ada pada hari ini, yang kita tidak lihat pada mata kasarnya tidak memihak kepada kita. Jadi maksudnya apa? Kenapa kita lihat keputusan itu tidak memihak kepada kita? Kerana rakan-rakan kita, para peguam berhujah dengan menggunakan kerangka sedia ada, kedudukan Islam yang difahami hanya yang di negeri sahaja,” Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi berkata demikian ketika mengulas kemelut kes-kes penghakiman yang dilihat tidak menyebelahi kefahaman Perlembagaan yang betul.

Beliau bercakap demikian sebagai salah seorang panel jemputan di dalam program Konvensyen 2022 : Mengarusperdanakan Syariah anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kita kata Islam ialah agama bagi Persekutuan, yang kita berjuang Islam agama negeri. Kita berjuang bukan setakat hendak mengarusperdanakan mahkamah syariah, tetapi kita wajib mengarusperdanakan Syariah itu sendiri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.”

“Islam mempunyai kedudukan sebagai Agama Persekutuan dan dalam masa yang sama juga Islam juga merupakan agama bagi Negeri. Dan ini merupakan peruntukan jelas. Tetapi yang hari ini, yang kita berjuang, yang kita dok argue, kita masih lagi menerima kerangka pemikiran yang ditinggalkan oleh sarjana kita, oleh para hakim kita, yang terlatih dengan pendidikan Westminster. Jadi, itu masalah. Jadi kita dah tak boleh pakai kerangka ni, sebab kerangka inilah yang mengakibatkan musibah yang melanda kita pada hari ini.”

Mengulas mengenai musibah yang melanda kedudukan umat Islam terutamanya masalah yang datang akhir-akhir ini melalui sistem Judiciary, beliau mencadangkan supaya pemahaman kerangka, sejarah dan konteks sebenar Perlembagaan mesti mengambil kira Jurispruden Watan.

“Kita kena tengok balik dari segi legal history jusrisprudens kita untuk menggunapakaikan, melihat dan mengimbau balik persejarahan negara kita, kalau kita lihat dalam dokumen yang ada, jelas, yang pertama, Wesminster bukan prinsip kedaulatan negara kita.”

“Demokrasi yang ada pada kita adalah demokrasi yang bersifat Constitutional Democracy setakat mana yang dibenarkan undang-undang Perlembagaan kita. Bukan ia menjadi asas.”

Ketika mengulas mengenai sejarah perundangan negara, beliau menegur kecenderungan pihak-pihak yang terlibat dengan Judiciary untuk menganggap Perlembagaan Malaysia pada hari ini terlahir dari rahim Westminster.

Beliau menyatakan terdapat banyak perbezaan ketara dan sejarah juga membuktikan bahawa kecenderungan tersebut ialah satu kecenderungan yang amat khilaf.

“Kita lihat, contohnya, Wesmintser, Raja merasmikan Parlimen di House Of Lords, bukannya di Dewan Rakyat. Itu pun dah tak sama dah. Kalau kita bercakap tentang suara majoriti, di Parlimen, Parlimen bukan tertinggi. Yang tertinggi supreme ialah Perlembagaan, Perkara 4, dan Perlembagaan itu mengiktiraf kedudukan Raja-Raja dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan. Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, Kedaulatan, Prerogatif, Kuasa dan Bidang Kuasa Raja-Raja dan Prerogatif kuasa dan bidang-bidang kuasa pembesar-pembesar memerintah di Negeri Sembilan di bawah wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati sehingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.”

“Tetapi malangnya hari ini, kita bercakap tentang demokrasi dan kedaulatan rakyat, daripada rakyat untuk rakyat, segala apa yang kita nak tafsir, oh.. kita mesti tengok kehendak rakyat, bukan kita nak lihat kehendak Allah SWT. Sedangkan kedaulatan kita pada Raja, dan apa maksud kedudukan Raja dalam Perlembagaan? Telah dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946, bahawa kedaulatan di setiap negeri Melayu itu hendaklah kekal pada Duli Yang Maha Mulia Raja di negeri itu mengikut adat Melayu.”

Dr Wan Ahmad Fauzi juga memberikan contoh perbezaan di antara definisi rakyat di dalam sistem Westminster dan sistem adat Melayu.

“Apa kedudukan Raja mengikut adat Melayu? Mengikut adat Melayu kita rujuk kepada undang-undang bertulis, existing law, Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, banyak undang-undang menjelaskan kedudukan Raja sebagai Zilullah Fil Ard, bayang-bayang Allah di muka bumi. Sebagai khalifah. Maksudnya apa? Maksudnya bukan keredhaan manusia itu yang dicari, yang menjadi asas, tetapi keredhaan Allah yang sepatutnya dijadikan pokok utama.”

Timbul satu pertanyaan, “Habis yang angkat raja dulu tu bukannya rakyat? Betul. Tapi takrifan rakyat dari sudut kedaulatan, pemikiran Wesminster dan Islam berbeza.”

“Rakyat dari segi Islam وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ (Adz Dzariyat ayat 56), tetapi dalam tafsiran Westminster, rakyat ni pemegang kuasa kedaulatan. General Will. Maka atas kuasa general will inilah tertegaknya, kedaulatan undang-undang. Jika sekiranya undang-undang itu digubal mengikut mandat majoriti rakyat. Jadi ini sudah berbeza, kedudukan takrifan manusia, konsep Westminster, dengan kedudukan mengikut adat Melayu. Kalau mengikut adat Melayu, Raja rakyat ini adalah pemegang amanah, jadi kita kena rombak balik pemikiran kita, kita sebenarnya sedang berdepan dengan ghazwatul fikr, serangan pemikiran. Sebab itulah saya mengemukakan jurispruden watan. Kita perlu melihat kerangka undang-undang dari dua sudut, sama ada Perlembagaan kita kerangka continuum atau pun kerangka dichotomy.“

Menyentuh mengenai soalan yang diajukan sebelum ini oleh seorang peserta forum, beliau menyatakan pendekatan baru harus diambil selain dari pendekatan atau sebarang bentuk percubaan meminda Perlembagaan sebagai satu solusi kepada masalah yang sedang melanda.

“Kita nak pinda Perlembagaan itu, setakat untuk mencantikkan, tiada masalah. Tetapi bolehkah tidak kita pinda Perlembagaan? Kita nak masukkan Seksyen 88 dalam Marriage Law Reform pun, yang keluar tak seperti kita idamkan. Inikan pula kita nak pinda Perlembagaan kita.”

Kita mesti berjuang dalam kerangka yang sedia ada, bawa balik tafsiran yang betul mengikut jusrisprudens. Jadi, apa implikasi dia? Kalau kita bercakap tentang implikasi, kita setuju bahawa Westminster ini bukanlah prinsip kedaulatan negara kita.

“Prof Sham pun setuju, mengatakan sistem demokrasi kita bukanlah Westminster mutlak. Jadi apa implikasinya? Bukan Westminster. Kalau bukan Westminster, kita bergantung kepada kedaulatan Raja-Raja, dan kedaulatan itu kekal ketika mencapai kemerdekaan.”

Leave a Reply

Back to top button