“Marriage of Convenience” Yang Mengenepikan Prinsip Masing-Masing – Presiden WAFIQ
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 November 2022 – “Saya merasakan ini adalah “marriage of convenience” yang mengenepikan prinsip masing-masing. Secara jelas, setelah berseteru sekian lama, dan saling mengkritik satu sama lain sewaktu berkempen, gabungan PH dan BN ini memperlihatkan percaturan bagi kepentingan peribadi berbanding dengan kesepakatan atas prinsip yang sama memperjuangkan kepentingan rakyat,” tegas Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kemungkinan PH yang diungguli DAP dengan 40 ahli Parlimen bakal bergabung membentuk Kerajaan dengan BN yang diungguli UMNO, dua parti dengan falsafah perjuangan yang bertentangan?
Persoalannya, bagaimanakah agaknya kelak penerimaan akar umbi kedua-dua gabungan, di satu pihak mengundi atas tiket mahu membanteras kleptokrat dan kluster Mahkamah dan satu lagi mengundi dengan pendekatan”No Anwar, No DAP”?
Menurut beliau, akar umbi dan rakyat merasa sangsi akan KOMPROMI yang dibuat kerana jelas di satu pihak (BN) melibatkan kes-kes rasuah yang serius, dan di satu pihak (PH) telah memberi persepsi bahawa mereka bersih, berintegriti dan menolak rasuah. Bagaimana negara dapat ditadbir dengan gabungan kedua pihak yang bertentangan ini?
Ditanya, mungkinkah perkembangan politik Malaysia ini alamat kepada ketidakstabilan Kerajaan Malaysia seperti 5 tahun lampau berulang?
“Saya rasa ya. Marriage of convenience for political advantage ini tidak mempunyai asas yang kukuh. Kita akan mempunyai Kabinet yang sebenarnya saling tidak mempercayai kerana nilai bertentangan. Akan berlaku saling ungkit-mengungkit akan integriti rakan sekabinet. Bagaimana rakyat dan pelabur asing akan percaya?”
Tambahnya lagi, kita akan terpaksa terus hidup dengan hakikat parti politik yang berbilang-bilang dan rakyat mempunyai pelbagai pilihan parti sewaktu PRU.
“Slogan melihat calon sebelum parti juga akan mula lebih popular memperlihatkan sukarnya mana-mana parti untuk mencapai majoriti mudah, apatah lagi majoriti 2/3.”
Justeru, kita harus mencari formula untuk mengelakkan “hung” Parlimen di masa akan datang dengan melakukan pindaan Perlembagaan,” katanya.