Tempatan

Margaret Gan Syukur Dapat Hidayah Pada Usia Hampir 80 Tahun

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 April 2022 – Pelakon veteran, Margaret Gan akhirnya memeluk Islam pada usia hampir 80 tahun dengan rela hati dan ikhlas kerana Allah S.W.T.

“Hati saya semakin tenang, rezeki pun melimpah-ruah daripada Allah. Saya bersyukur pada usia menghampiri 80 tahun ini akhirnya diberikan hidayah oleh Allah,” katanya.

Menurut Margaret, anak tunggalnya, Muhammad Taufiq Gan merupakan insan yang paling gembira apabila Margaret menyuarakan keinginannya untuk memeluk Islam.

“Saya bersyukur Allah membukakan pintu hati saya pada usia sekarang ini dengan memberikan hidayahNya dan sekaligus doa anak, menantu serta cucu dimakbulkan hingga saya kini seorang Islam dan Muslim,” ujarnya lagi.

Bukan itu sahaja, Margaret berasa seronok apabila dapat meraikan pengalaman berpuasa di bulan Ramadan buat kali pertama malah beliau juga tidak putus-putus mendapat undangan untuk majlis berbuka puasa pada setiap hari.

“Setiap jemputan itu bagi saya, rezeki daripada Allah. Kebetulan saya ada masa lapang, jadi buat apa nak tolak. Anak pun izinkan dan saya ke majlis itu dihantar oleh pemandu.”

Mengulas lanjut, keinginannya untuk memeluk Islam adalah kerana tertarik dengan cara kehidupan anaknya dalam memimpin keluarga.

Katanya, anaknya merupakan individu yang membimbingnya untuk mendalami Islam diiringi dengan cucu-cucunya yang suka mengajaknya solat bersama.

Beliau juga akan ikut apa sahaja saranan yang diberikan oleh anaknya dan alhamdulillah, beliau merasakan hatinya sangat tenang.

Berikutan itu, beliau merasakan bahawa anaknya mampu untuk membimbingnya menjadi seorang Muslim yang baik.

Pada bulan Ramadan ini, Margaret banyak membaca zikir antaranya berzikir lebih 1,000 kali seiring dengan saranan anaknya kerana menurut anaknya, cara itu lebih elok diamalkan selain dapat mengaut lebih banyak pahala.

Apabila ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Margaret mengatakan bahawa ketika ini dia sedang berlakon drama radio di RTM dan tidak menolak sekiranya terdapat tawaran berlakon dengan watak yang sesuai sebagai seorang Muslim dan berhijab.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: