Mansuhkan Vernakular Jika Mahu Undi Melayu – Setiausaha Penaja BERTINDAK
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
PUCHONG, 16 November 2021 – “Pemimpin-pemimpin Melayu yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri mesti berjuang mempertahankan tanah-tanah milik orang-orang Melayu dan perlu memansuhkan sekolah-sekolah vernakular jika hendak undi orang-orang Melayu semasa Pilihanraya Umum ke-15 nanti,” tegas Setiausaha Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK) Haji Zainol Talib.
Menurutnya, jika pemimpin-pemimpin ini tidak mampu mempertahankan hak-hak rakyat Malaysia, maka mereka ini adalah golongan yang gagal sebagai seorang pemimpin mewakili Keluarga Malaysia.
“Kita berharap, pembinaan SJKC Too Joon Hing ini telah dihentikan 100 peratus, dan kita minta pembinaan segera sekolah kebangsaan di tapak ini tanpa sebarang alasan lagi.”
Namun, jika ada pembinaan yang tidak sepatutnya di atas tanah atau tapak itu, penduduk Bandar Kinrara akan bersatu dan membuat satu perhimpunan membantah pembinaan tersebut.
“Ketika itu, jangan salahkan kami, tetapi, salahkan diri anda sebagai pemimpin yang gagal. Anda gagal mempertahankan keamanan dan perpaduan serta keharmonian kaum,” kata Haji Zainol dengan tegas.
Tambahnya, apa yang penduduk mahukan ketika ini hanyalah pembinaan sekolah kebangsaan secepat mungkin, bukan sekolah vernakular.
“Harap mesej ini jelas dan diberi perhatian khusus oleh pimpinan negara,” ujar beliau mengakhiri perbualan.