Antarabangsa

Mansuh Hukuman Seks Sejenis, Mufti Singapura Gesa Masyarakat Kukuhkan Pegangan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SINGAPURA, 23 Ogos 2022 – “Walaupun undang-undang berubah tetapi ajaran dan nilai agama tetap sama. Dalam seksualiti sebagai contoh, jelas dalam agama apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Namun kita perlu terus mendidik anak-anak kita dan keluarga kita dan generasi muda khususnya akan pegangan agama ini dan meyakinkan mereka tentang pegangan agama dan pendirian agama sebab mereka juga terdedah dengan pendirian-pendirian lain,” tegas Mufti Negara Singapura, Dr Nazirudin Nasir.

Beliau mengeluarkan kenyataan ini bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan kota singa itu yang akan memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, iaitu undang-undang yang menjatuhkan hukuman ke atas hubungan seks sesama lelaki.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menegaskan bahawa pemerintah juga akan meminda Perlembagaan untuk menyertakan pentakrifan perkahwinan, supaya perkara itu tidak dicabar di mahkamah.

“Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita diiktiraf di Singapura. Banyak dasar nasional bersandarkan penakrifan perkahwinan ini – termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan, klasifikasi filem. Pemerintah tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan, apatah lagi dasar-dasar ini,” kata Lee Hsien Loong.

Mengulas mengenai perkara ini, Dr Nazirudin berkata, “Kita berasa tenang kerana pemerintah juga telah menjelaskan bahawa itu adalah antara usaha yang akan dilakukan untuk mengukuhkan lagi institusi perkahwinan.”

Atas sebab itu, beliau menggesa agar masyarakat terus bekerjasama dengan negara dan pemerintah untuk mengukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga sedia ada sekarang iaitu penyatuan antara lelaki dan wanita.

Ujarnya lagi, “Kami berharap mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan kami tentang seksualiti dan perkahwinan boleh memahami mengapa kumpulan agama seperti masyarakat Muslim mahu kekalkan institusi perkahwinan dan kami lega pemerintah memberi petanda akan lakukan demikian bagi mencerminkan norma masyarakat kita.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: