Mansuh Akta Hasutan 1948 & Ganti Akta Harmoni?
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2023 – Semalam wakil dari PEMBELA dan beberapa CSO Islam telah hadir dalam dua sesi bersama libat urus pemegang-pemegang taruh berkenaan isu 3R.
Bertempat di Asian International Arbitration Centre (Malaysia), Kuala Lumpur, dua sesi utama telah dijalankan bagi membincangkan persoalan berkenaan isu 3R (Rulers, Religion & Race).
Sesi pertama dengan 3 kumpulan pemegang taruh dijalankan dalam bilik berbeza. PEMBELA diwakili Setiausaha Agung, Mohd Aswanizam Bin Alias dan rakan CSO PEMBELA, Concerned Lawyer For Justice (CLJ) diwakili oleh Tn Aidil Khalid, Persatuan Peguam Muslim Malaysia diwakili oleh Tn Daniel Farhan dan Badan Peguam Syarie diwakili oleh Tn Hariz.
Pihak PEMBELA merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas undangan serta melibatkan PEMBELA dan beberapa CSO Islam dalam sesi libat urus kali ini.
PEMBELA melihat ini sebagai satu pendekatan sihat dan harus dipuji. Keseluruhan sesi berlangsung dengan harmoni penuh hormat, dengan pihak-pihak berkepentingan bertukar-tukar pandangan dan pendirian masing-masing.
Perbincangan pada sesi pertama melibatkan 4 persoalan yang dibangkitkan. PEMBELA menyatakan pendirian-pendirian berikut :
PENEGASAN :
1. Undang-undang sedia ada cukup, tetapi tidak membantah jika penambahbaikan dilakukan.
2. Semua bentuk cadangan untuk menggunakan prinsip-prinsip Hak Asasi Antarabangsa sebagai panduan kepada pembentukan Akta atau undang-undang baru seperti Prinsip RABAT Plan Of Action & Camden Principle hendaklah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
3. Semua bentuk Prinsip-Prinsip Antarabangsa yang hendak digunakan sebagai garis panduan undang-undang berkenaan Hak Kebebasan Bersuara, mesti menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan Sumpah Ketua Utama Negara untuk memelihara Islam pada semua masa pada Perkara 37(1).
4. Salah guna kuasa dengan menggunakan undang-undang menyekat kebebasan bersuara yang dijadikan sebagai senjata politik oleh semua pihak yang memerintah merupakan isu sebenar yang perlu ditangani.
5. Perpaduan dan keharmonian kaum dalam Malaysia tidak boleh diselesaikan melalui penambahan undang-undang tetapi perlu diselesaikan masalah akar perpaduan iaitu melalui sistem Pendidikan.
BANTAH :
1. Bantah cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, tetapi tidak membantah cadangan menambahbaik Akta Hasutan 1948.
2. Wakil CLJ, Tn Aidil Khalid turut menegaskan perkara sama dengan penegasan kepada Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 yang mesti kekal tetapi tidak membantah kepada penambahbaikan Akta yang sama.
RESERVASI :
1. PEMBELA merakamkan reservasi kepada cadangan kepada penubuhan Suruhanjaya Harmoni kerana tidak diberikan maklumat lengkap tentang punca kuasa, struktur, bidang kuasa dan cadangan berkaitan penubuhan Suruhanjaya Harmoni.
CADANGAN :
1. PEMBELA menegaskan supaya semua bentuk perancangan yang melibatkan kepentingan negeri, mesti mengadakan sesi libat urus dengan CSO Islam.
Dalam kedua-dua sesi, wakil Majlis Peguam membangkitkan cadangan yang pernah dikemukakan melalui NUCC (National Unity Consultative Council) pada 2014 sebelum ini. Tiga Akta yang pernah dicadangkan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 seperti berikut :
i. Racial and Religious Hate Crimes Bill;
ii. National Harmony and Reconciliation Bill;
iii. National Harmony and Reconciliation Commission Bill.
Cadangan-cadangan penggubalan 3 Akta ini telah dibantah pada 2014 dan 2018 oleh PEMBELA. Ia berbangkit kembali dalam sesi kali ini.
CSO Islam harus cakna tentang perkembangan ini.
Walau bagaimanapun, PEMBELA merakamkan kredit yang harus diberikan kepada pihak Kerajaan yang mengingatkan perwakilan bahawa sebarang bentuk cadangan pemansuhan apa-apa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 perlu dibuat dengan penuh hati-hati, cermat dan mengambilkira pandangan pihak-pihak berkepentingan dalam negara.