Mangsa, Waris Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali Gesa Dedah Laporan Penuh
HULU SELANGOR, 02 Jun 2023 – Mangsa serta waris mangsa dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali Disember tahun lalu menggesa pihak berkuasa untuk mendedahkan laporan penuh kejadian tersebut.
“Kerajaan yang bertanggungjawab wajar memberikan penjelasan yang munasabah untuk kelewatan.”
“Ketelusan dan kemaskini mengurangkan kegusaran dan mengekalkan kepercayaan,” kata Goh May Yann, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh itu.
Beliau yang memahami bahawa siasatan akan mengambil masa berkata pihak Kerajaan sewajarnya menjelaskan tentang kelewatan tersebut.
BACA JUGA: Kos Ibadah Korban Di Tanah Suci Meningkat
BACA JUGA: Doktor Mahu Caj RM1 Klinik Kesihatan Dinaikkan
BACA JUGA: Kes Hak Jagaan Anak Orang Asli: Mahkamah Perintah ‘Gag Order’ Kepada Semua Pihak Terbabit
Menurut suaminya, Tee Yeow King, laporan siasatan itu penting untuk komuniti perkhemahan kerana ia dapat membantu mereka melaksanakan pembaharuan dan meminta pihak berkaitan melaksanakan tanggungjawab sewajarnya.
Dalam masa yang sama, Sam Lai Choon Seng yang kehilangan adik dan anak saudaranya dalam tragedi tersebut turut menzahirkan kebimbangannya atas kelewatan pihak berkuasa untuk mendedahkan laporan penuh.
“Sila ambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab berdasarkan penemuan siasatan.”
“Kegagalan menangani perkara ini akan mengakibatkan peningkatan kecuaian dan akan meletakkan aktiviti perkhemahan masa depan dalam risiko. Kami tidak mahu sesiapa pun menghadapi tragedi sama yang kami alami,” kata seorang lagi waris, Lam Sook Yoo yang mana adiknya antara mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.
Dilaporkan pada 30 Mei, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya sedang memutuskan laporan penuh Kabinet.
Dalam kejadian tanah runtuh pada 16 Disember tahun lalu, seramai 92 orang mangsa terjejas dengan hanya 61 orang daripadanya selamat.
Susulan kejadian itu polis mengambil keterangan 77 individu termasuk pemilik tapak perkhemahan terbabit.