Tempatan

Mangsa Jenayah Penipuan Siber Digesa Hubungi Talian 997

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 17 Oktober 2022 – Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan jenayah siber digesa menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan segera menerusi talian 997, lapor berita tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa mangsa menghubungi dengan kadar segera supaya tindakan selanjutnya boleh dilaksanakan.

“Tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan.”

Menurut beliau, semasa menghubungi pihak bank atau NSRC, mangsa perlu memberikan beberapa maklumat berkaitan insiden penipuan yang dialami termasuk maklumat komunikasi antara mangsa dan suspek serta maklumat transaksi yang mendorong mangsa ditipu seperti nombor akaun, nama bank dan jumlah dana yang terlibat.

Beliau berkata, talian 997 merupakan alternatif kepada orang awam selain talian khusus bank masing-masing yang beroperasi selama 24 jam. Ia dibuka pada setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.

Penubuhan NSRC diumumkan pada pembentangan Bajet 2023 minggu lalu sebagai salah satu inisiatif membanteras jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

Wan Junaidi mengatakan bahawa NSRC adalah sebuah pusat respon setempat yang menggabungkan kepakaran dan sumber daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan dari individu yang mengaku diri sebagai pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan yang diragui.

Ujar beliau, NSRC dan agensi di bawahnya serta bank-bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor TAC, OTP dan juga kata laluan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: