Tempatan

Mangsa Banjir Digalakkan Memakai Pelitup Muka Semasa Di PPS

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 18 September 2022 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menasihatkan mangsa banjir agar memakai pelitup muka ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun Kerajaan tidak mewajibkannya.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, ia antara ketetapan yang diputuskan agensi itu bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 yang dijangka bermula November ini hingga Mac 2023.

“Untuk pemakaian pelitup muka, kita galakkan mereka yang berada di PPS untuk pakai bagi mencegah penularan COVID-19 tetapi tiada paksaan,” katanya semasa Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersama Media di Markas SMART, Pulau Meranti pada Khamis lalu.

Berikutan pandemik COVID-19 melanda negara sejak dua tahun lepas, kapasiti PPS telah dihadkan mengikut keluasan supaya tidak terlalu padat pada satu masa selain sebarang aktiviti memasak secara gotong-royong dilarang di PPS ketika bencana banjir dengan makanan ketika itu hanya dibekalkan secara bungkus.

Namun kini, aktiviti memasak secara gotong-royong telah dibenarkan dan PPS juga akan beroperasi pada kapasiti penuh.

Musim Monsun Timur Laut kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri Pantai Timur.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022 manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: