Tempatan

Manfaatkan Sisa Tandan Sawit Kosong Demi Kelestarian Industri Serta Alam Sekitar – YPNM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 21 Mei 2024 – Kerajaan dicadangkan untuk memanfaatkan sepenuhnya sisa tandan kosong kelapa sawit bagi menjana pendapatan negara dan demi kelestarian industri serta alam sekitar.

Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, negara mengalami kerugian RM10 bilion setahun apabila dianggarkan kira-kira tujuh juta tan sisa tandan kelapa sawit kosong yang dihasilkan daripada aktiviti perladangan dibuang dan dibiarkan mereput di ladang-ladang.

Malah bukan itu sahaja, pembuangan tanpa pengurusan yang baik turut mengakibatkan pencemaran apabila terdapat tapak-tapak pengumpulan tandan kosong kelapa sawit yang terbakar terutama pada musim kemarau.

“Akibat kekurangan inovasi, sekarang ini kita dapati banyak sisa tandan sawit dibiarkan berlonggok di ladang-ladang sawit dan akhirnya reput begitu sahaja.”

“Ia berbeza dengan negara jiran seperti Thailand, begitu juga negara China, mereka memanfaatkan sisa tandan sawit kosong ini untuk menjana pendapatan, ia sekali gus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan memanfaatkan sisa tandan kosong bagi menghasilkan cawan dan pinggan pakai buang serta kertas yang mesra alam.

“Sisa tandan sawit kosong boleh dikitar semula bagi menghasilkan pinggan dan cawan plastik biodegradasi. Ia merupakan sejenis plastik yang dapat terurai melalui tindakan benda-benda hidup menjadi air, karbon dioksida dan biojisim.”

“Memandangkan Malaysia adalah negara pengeluaran kedua terbesar daripada hasil kelapa sawit, seharusnya negara tampil dengan produk-produk inovasi yang boleh menyelamatkan alam semesta dunia dengan mengurangkan penggunaan plastik.”

“Ia juga dapat membawa nama baik kepada Malaysia dan industri kelapa sawit itu sendiri di mata dunia apabila ia dapat dimanfaatkan menerusi penghasilan produk yang mesra alam,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: