Mana Muslim Nak Kerja Kalau Berkaitan Arak Tak Boleh? — ADUN DAP
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SG PELEK, 29 Oktober 2021 – ADUN Sungai Pelek dari DAP, YB Ronnie Liu Tian Khiew meluahkan kekhuatirannya tentang nasib umat Islam sekiranya mereka dilarang dari bekerja dalam industri yang terlibat dengan minuman keras.
Menurut beliau, meskipun Islam mengharamkan arak, tetapi itu tidak membawa makna bahawa umat Islam dilarang melibatkan diri dalam industri arak.
YB Ronnie Liu menegaskan, “Arak adalah haram bagi umat Islam. Itu tidak dipertikaikan. Tetapi ia tak membawa maksud umat Islam sampai tidak boleh lihat, dengar, sentuh atau hantar arak.”
“Ia juga tidak bermaksud umat Islam sampai tidak boleh bekerja di syarikat-syarikat atau kilang-kilang menjual atau membuat arak.”
“Lagipun, jika umat Islam tidak dibenarkan bekerja dalam perniagaan berkaitan arak atau bir, di mana saudara kita dari kalangan umat Islam lelaki dan perempuan pergi untuk bekerja?”
“Terpulanglah pada masing-masing,” kata beliau.
ADUN DAP tersebut mengeluarkan kenyataan tersebut bagi membidas desakan rakan sekutunya, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa agar kerajaan mengharamkan umat Islam terlibat dalam industri arak.
Beberapa hari yang lalu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa telah menegaskan hasratnya agar umat Islam diharamkan dari terlibat dalam “pemprosesan, penjualan, penghantaran dan penyediaan”, dan sebarang “aktiviti yang berkaitan” dengan arak.