Tempatan

Mama Rayu Bantu Yasin, Undang-Undang Kanabis Lapuk – Syed Saddiq

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 13 April 2022 – “Perjuangan ini bukan sahaja untuk Yasin, tetapi juga untuk semua yang menderita dan memerlukan ganja perubatan sebagai rawatan.”

“Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi Yasin yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul. Ingat, pesakit bukan penjenayah!”

Pesanan ini telah ditulis di Faceboook milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq setelah bertemu dengan keluarga Yasin baru-baru ini.

Rentetan daripada pertemuan itu, Syed Saddiq menyatakan undang-undang pengharaman perubatan kanabis adalah lapuk.

Jelasnya, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan kanabis dari senarai narkotik.

“Realitinya, bila cakap mengenai rokok, rokok membunuh 8 juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000. Alkohol pula 3 juta kematian setiap tahun.”

“Tapi bila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu taboo dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan,” ulasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata beliau ada berjumpa ramai ibu bapa bahkan doktor-doktor yang terpaksa membeli Cannabidiol (CBD) untuk merawat pesakit.

“Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin.”

“Tidak ada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk kesihatan anak-anak,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, Yasin Sulaiman penyanyi terkemuka tanah air ada membuat posting di Facebook berkenaan kepentingan kanabis.

Katanya, ganja perubatan berkenaan banyak membantu pesakit yang menghidap tekanan yang kronik, insomnia, hilang selera makan, depresi dan kekurangan fokus sepertinya.

Namun, pada Mac lalu penyanyi berkenaan telah ditangkap dan didakwa atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar dadah.

Dalam pada itu, ketika menghadiri perbicaraan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya baru-baru ini, beliau sempat menitip pesan kepada wartawan untuk mengirim salam kepada Syed Saddiq dengan berkata “Kirim salam pada YB Syed Saddiq, minta dia segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen.”

Leave a Reply

Back to top button