Malaysia Tutup Pejabat Kedutaan Di Sudan
KUALA LUMPUR, 02 Mei 2023 – Malaysia menutup sementara operasi kedutaan di Sudan ekoran pertempuran berterusan di negara itu kebelakangan ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, “Operasi pejabat kedutaan di Khartoum, Sudan kini ditutup sementara selepas kita berjaya membawa keluar 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di negara itu pada Jumaat lalu susulan pergolakan berterusan ekoran pertempuran dua pasukan tentera.”
Jelasnya, setakat ini, tempoh penggantungan pejabat kedutaan Malaysia di Sudan tidak diketahui kerana ia bergantung kepada keadaan semasa negara itu. Bagaimanapun, pihak Kementerian akan sentiasa memantau hal tersebut.
BACA JUGA: Muzium Bakal Dibuka Di Tapak Bersejarah Bahtera Nuh, Turkiye
BACA JUGA: Aktivis Persoal Food Court Tidak Halal ‘Bangsa Johor’, Pinggirkan Umat Islam?
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan, penutupan kedutaan Sudan itu menjadikannya sebagai pejabat kelima yang digantung operasi di negara yang bergolak.
Sebelum ini, Malaysia telah menghentikan operasi di empat negara pasca peperangan iaitu Afghanistan, Libya, Syria dan Iraq. Namun, pihaknya menerima permintaan untuk membuka semula kedutaan Malaysia di Libya.
“Penilaian perlu dilakukan terlebih dulu. Susulan itu, pasukan sudah mula dihantar ke negara terbabit bagi menyediakan laporan berhubung keadaan di negara berkenaan dan cadangan pembukaan semula kedutaan di negara terbabit,” ujarnya kepada akhbar tempatan.
Terdahulu, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya dikeluarkan dari Sudan dan selamat tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 April 2023, jam 2.54 petang.