Tempatan

Malaysia Tidak Cari Restu Barat

Kuala Lumpur: “Kami melakukan perkara ini bukan untuk mendapat restu Barat atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bukan untuk mendapat tepukan daripada Human Rights Watch (HRW), tetapi kerana kami bertekad untuk menjunjung maruah manusia sebagai sebuah negara mengikut acuan kami berdasarkan Perlembagaan negara kami, undang-undang dan nilai-nilai yang tercermin bukan sahaja dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), malah dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah (CDHRI) dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Asean (AHRD).” 

Demikian penegasan tuntas yang dibuat oleh Azril Mohd Amin ketika merujuk kepada laporan oleh HRW yang mengkritik Malaysia dalam beberapa perkara berkenaan pelaksanaan hak asasi manusia di negara ini.

Azril yang merupakan pengasas Pusat Penyelidikan & Sokongan Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mendedahkan bahawa pembela hak asasi manusia di Barat masih lagi mencerminkan corak pemikiran penjajah yang kuno iaitu sebagai guru yang bijak kepada murid yang jahil, sebagai orang beradab kepada orang primitif, dan sebagai pendakwah kepada orang tercelaka di dunia.

Sebagai respon terhadap perkara ini, beliau berkata, “Kami boleh saja membantah kritikan HRW satu demi satu, tetapi jawapan sebenar kepada laporan mereka ialah untuk menyatakan secara mudah dan tanpa segan silu bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati keluhuran undang-undang; undang-undang kami yang berakar umbi daripada adat dan nilai kami yang mencerminkan kewujudan kami sebagai sebuah negara berdaulat.”

Beliau seterusnya menegaskan bahawa Malaysia turut menghormati kedaulatan negara-negara lain bukan sahaja di rantau ini malah di seluruh dunia untuk menegakkan dan menguatkuasakan kerangka undang-undang masing-masing dalam memelihara dan menjunjung hak-hak sah warganegara mereka.  

“Ini adalah selari dengan Perkara 7 AHRD dimana pewujudan hak asasi manusia perlu dipertimbangkan dalam konteks wilayah dan negara dengan kesedaran kepada perbezaan dalam latarbelakang politik, ekonomi, perundangan, sosial, kebudayaan, sejarah dan agama,” tambah beliau.

Merujuk kepada laporan HRW itu lagi, Azril menyatakan bahawa badan tersebut mempamerkan yang mereka tidak menghormati kedaulatan dan undang-undang Malaysia yang mana, tiada satu pun pelanggaran berlaku sepertimana yang didakwa dalam laporan mereka malah, Malaysia sangat teliti pada setiap masa dalam pelaksanaan hak asasi manusia di negara ini.

Ujar beliau lagi, ”Kami dengan hormatnya menegaskan bahawa kami berhak untuk meneruskan hak asasi manusia berpandukan budaya, nilai dan proses perundangan kami sendiri tanpa menolak hak asasi manusia sejagat.”

Untuk rekod baru-baru ini, HRW telah mengeluarkan sebuah laporan tahunan yang mendakwa bahawa hak asasi manusia di Malaysia merosot di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang secara agresif melanggar kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman serta melakukan serangan terhadap media. 

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button