Tempatan

Malaysia Tanggung RM40 Juta Hutang Bil Perubatan Warga Asing

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 09 Jun 2024 – Lebih RM40 juta beban hutang bil perubatan perlu ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga tahun lalu akibat warga asing yang tidak membayar bil perubatan di fasiliti kesihatan awam di seluruh negara.

Ini termasuk kos bagi rawatan bersalin, kecemasan, pemeriksaan pesakit luar serta pengambilan ubat, sama seperti yang dinikmati rakyat tempatan yang lain.

Justeru, kerajaan dicadangkan perlu menetapkan prosedur baharu di kemudahan kesihatan kerajaan supaya hanya mengambil pesakit warga asing yang memiliki perlindungan insurans sahaja.

“Terdapat dua perkara penting dalam isu membabitkan rawatan terhadap warga asing iaitu kos rawatan semakin tinggi dan hasil yang tak dapat dikutip dan kesesakan di kemudahan kesihatan kerajaan.”

“Jalan penyelesaian yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan adalah menaikkan kadar bayaran sehingga tiga kali ganda dan membuat penetapan untuk merawat pesakit warga asing yang mempunyai perlindungan insurans sahaja.”

“Sekiranya mereka tiada perlindungan insurans, warga asing ini perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta,” kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar.

Tambahnya, caj munasabah untuk warga asing yang mendaftar untuk menerima rawatan di hospital awam sepatutnya dinaikkan kepada RM120 berbanding hanya RM40 ketika ini.

Menurut beliau, jumlah itu paling munasabah bagi menampung peningkatan kos rawatan perubatan dan risiko kehilangan hasil yang tidak dapat dikutip seperti dialami KKM sebanyak RM40 juta sehingga tahun lalu.

Kata beliau, peningkatan caj bayaran terhadap warga asing juga secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah kesesakan di hampir semua kemudahan kesihatan kerajaan.

Mengulas lanjut, Dr. Zainal Ariffin berkata, hasil atau bayaran yang tidak dapat dikutip daripada warga asing menyebabkan kerajaan kehilangan hasil untuk membiayai kos kesihatan warga tempatan.

“Jadi, untuk menyelesaikan masalah itu KKM perlu mengenakan deposit tinggi kepada warga asing yang mahu mendapatkan rawatan di fasiliti mereka dan memberikan perkhidmatan kepada memiliki insurans sahaja,” katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye turut memberikan pandangan sama bahkan mencadangkan supaya KKM mengenakan caj sebenar kos ditanggungnya untuk memberikan perkhidmatan rawatan kepada warga asing.

“Warga asing yang mahu mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan perlu membayar 100 peratus kos sebenar KKM tanpa sebarang subsidi,” katanya.

Pada April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu Dewan Negara, sejumlah 72,078 warga asing menerima rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan pada tahun lalu dan sejumlah RM257 juta bayaran dikutip.

Bagaimanapun, katanya, jumlah keseluruhan bil perubatan yang tidak dibayar oleh warga asing di negara ini sehingga tahun lalu adalah berjumlah RM40 juta.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: