Tempatan

Malaysia Tak Mahu Terpalit Dalam Percaturan Geopolitik Kuasa Besar – Dr Azmi Hassan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2022 – “Sebenarnya, kita tidak mahu terpalit dalam percaturan geopolitik kuasa besar kerana itu kita dilihat seolah-olah agak menongkah arus apabila usul daripada UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees) itu kita mengambil sikap berkecuali.”

Demikian pandangan pakar geostrategis Dr Azmi Hassan dalam mengulas isu Malaysia memilih berkecuali ketika usul debat Uyghur di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Bagaimanapun jelas beliau, dalam usul Rusia terhadap empat wilayah di Ukraine sebelum ini Malaysia turut menyokong draf resolusi mengecam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Menurut Dr Azmi, walaupun keputusan diambil Malaysia mengenai usul debat Uyghur di wilayah Xinjiang, China itu dikatakan agak bertentangan antara satu sama lain tetapi dalam hal ini kita perlu akur bahawa isu masyarakat Uyghur itu telah digunakan sebagai senjata politik negara-negara barat untuk menekan China.

Jelas beliau lagi, hal ini sama juga dalam hal Rusia menyerang Ukraine. Tetapi di dalam hal Uyghur ini kita mahu bersikap berkecuali dan tidak masuk campur tangan di dalam percaturan kedua-dua kuasa besar terutama sekali Amerika Syarikat dan China.

Dr Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) berkata, “Kalau kita lihat contoh satu lagi isu sensitif yang melibatkan Malaysia secara langsung iaitu Laut China Selatan, kita tidak menyebelahi mana-mana pihak terutamanya China atau Amerika Syarikat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan walaupun kita bertentangan dengan China dalam hal ini.”

Tambah beliau, dalam hal masyarakat Uyghur walaupun dikatakan yang menjadi mangsa adalah masyarakat Islam tetapi kita tidak mahu terpalit dengan percaturan kuasa besar yang melibatkan Amerika Syarikat dan China.

Justeru, apa yang kita lakukan adalah dasar luarnya sama juga dengan Laut China Selatan. Kalau kita lihat isu Laut China Selatan kita tidak terlibat dan dikatakan pertentangan fizikal, maknanya sikap neutraliti, sikap tidak berkecuali Malaysia terhadap isu ini.

Jadi apabila kita panjangkan isu masyarakat Uyghur. Ya, memang kalau kita lihat yang menentang itu dan yang berkecuali ramai juga tetapi yang menentang majoriti 80 peratus itu adalah negara-negara Islam dan kalau kita perhatikan negara-negara Islam itu tidak sangat terbabit dengan hal ekonomi dengan China, tidak sebanyak Malaysia umpamanya tetapi kemungkinan kenapa mereka menolak isu ini adalah sama juga dengan Malaysia iaitu tidak mahu isu masyarakat Uyghur ini tenggelam dalam percaturan kuasa besar, itu yang saya melihatnya.

Sebab itu, walaupun dikatakan nampak janggal tetapi ada asas justifikasi dalam hal ini kerana seperti yang saya katakan tadi ianya digunakan sebagai senjata geopolitik dan kita tidak mahu terbabit dalam perkara ini.

Menurutnya, sama juga apabila Amerika Syarikat menubuhkan pakatan pertahanan AUKUS umpamanya untuk mengekang kebangkitan China, kita menolak sekeras-kerasnya kehadiran AUKUS di Indo Pasifik dan sama juga bila pakatan “Asia Quad” yang diketuai oleh Amerika Syarikat dengan niat yang sama juga untuk menekan China yang dikhuatiri menjadi ancaman kepada kekuasaan hegemoninya.

Tegasnya, dasar luar kita adalah jelas dan tidak mengalu-alukan kehadiran pakatan tentera sama ada AUKUS ataupun Quad ini.

“Jadi inilah yang dikatakan adalah dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia, walaupun nampak dikatakan kadang-kadang sebelah kiri dan kadang-kadang ke sebelah kanan tetapi asasnya adalah kita tak mahu terpalit dalam percaturan kuasa besar,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: