Malaysia Sangat Malang Ada SUHAKAM Yang Perjuang LGвτ- Profesor Ridhuan Tee Abdullah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 12 Disember 2021 – Profesor Ridhuan Tee Abdullah kesal dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang dilihat tidak memperjuangkan hak asasi yang sebenar.
“Kita mengharapkan mereka memperjuangkan hak asasi yang sebenar contohnya mereka yang tertindas seperti pekerja-pekerja foodpanda, isu kemiskinan, isu tentang hak asasi mereka yang nak dapatkan pendidikan dan sebagainya, tetapi malangnya itu tidak berlaku.”
“Namun apabila timbul isu LGBT, SUHAKAM akan segera memberi respons. Saya mendengar pandangan-pandangan di kalangan mereka dan yang paling saya sedih sekali apabila melihat pandangan ada satu dua orang wakil beragama Islam, itu yang saya sangat terkilan,” kata beliau.
Jelas pensyarah di UniSZA itu, ini yang menyebabkan penubuhan SUHAKAM dipertikaikan, bukan sahaja sekarang tetapi semenjak daripada dahulu lagi.
Selain itu, beliau tertanya-tanya, mengapa SUHAKAM amat terpengaruh dengan cara hidup hak asasi Barat yang sebenarnya membawa ke arah kemudaratan manusia dan negara.
“Negara Barat sedang mengalami keruntuhan dari segi hak asasi mereka dan kenapa kita pula nak bina di Malaysia perkara yang boleh meruntuhkan dan merosakkan masyarakat seumpama itu.”
“Itu yang membuatkan kita tidak faham dengan SUHAKAM ini, kenapa dilantik ahli di kalangan mereka yang berfahaman liberal, sekular dan berbagai lagi yang tidak mahu berpegang kepada agama.”
Kata Prof Ridhuan Tee lagi, “Sudahlah pemimpin SUHAKAM ini berbangsa Melayu, beragama Islam, takkanlah langsung tidak ada sensitiviti atau jiwa kamu telah mati melihat perkara ini.”
“Bayangkan anak-anak kamu sendiri terlibat dalam LGBT adakah kamu sendiri boleh menerimanya.”
Bercakap soal LGBT, soal arak itu tidak boleh dikategorikan dalam hak-hak asasi sebab ia bertentangan dengan aliran agama dan juga Perlembagaan, tegas beliau.
Kata Prof Ridhuan lagi, SUHAKAM bukan sahaja menghina diri sendiri tetapi menghina agama sendiri yang terang-terang menentang LGBT.
“Dan sangat malang sekali bagi kita semua mempunyai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia seperti ini di Malaysia.”
“Justeru, jangan lagi dilantik mereka-mereka yang berfahaman pelik-pelik ini yang hanya mengundang kemarahan rakyat sekaligus menimbulkan kacau bilau sehingga menjejaskan ketenteraman awam di negara ini,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.