Tempatan

Malaysia Rugi Berbilion Ringgit Akibat Kekurangan Buruh Indonesia Bangladesh

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 13 Ogos 2022 – Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Ahmad Parveez Ghulam Kadir mendedahkan Malaysia mengalami kerugian berbilion ringgit dalam sektor minyak sawit akibat kekurangan buruh dari Indonesia dan Bangladesh.

Katanya, pertikaian berhubung proses pengambilan menyebabkan dua negara tersebut membekukan penghantaran pekerjanya ke Malaysia seterusnya mengakibatkan sektor itu menghadapi kekurangan 54,190 tenaga kerja setakat Mei lalu.

Menurut Parveez, seramai 28,940 pekerja diperlukan sebagai penuai dan pengumpul buah tandan segar (BTS).

“Berdasarkan purata produktiviti, seorang pekerja sekitar dua tan BTS sehari, maka mengikut anggaran kira-kira 57,800 tan BTS tidak dapat dituai sehari.”

“Dengan mengambil kira 26 hari bekerja dalam sebulan, dianggarkan 1.5 juta tan BTS tidak dituai setiap bulan dari Januari hingga Mei lalu,” jelasnya.

Secara ringkasnya, Parveez memberitahu penanam sawit mengalami kerugian sebanyak RM10.46 bilion dengan harga purata RM1,390 bagi setan BTS dan RM6,300 untuk setan minyak sawit mentah (MSM).

Namun Parveez berkata, masalah kekurangan pekerja akan diselesaikan dalam masa terdekat susulan persetujuan antara Dhaka dan Jakarta, serta keputusan 18 Julai lalu oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menambah senarai negara sumber pekerja asing.

Tambahnya, pihak MPOB juga sedang memantau jumlah pekerja yang diambil dan kekurangan yang masih dihadapi syarikat perladangan.

Malaysia kini menerima pekerja dari Thailand, Bangladesh, Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Kazakhstan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Indonesia dan India, di bawah Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang baru diperkenalkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: