Malaysia Rekod Negara Ke-5 Tertinggi Mengancam Kehidupan Marin
KUALA LUMPUR, 09 Julai 2024 – Malaysia direkodkan berada di tangga kelima tertinggi di dunia yang menyumbang kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin.
Menurut laporan, dianggarkan sebanyak 9 bilion tan pelbagai jenis plastik digunakan dan dibuang oleh rakyat Malaysia setiap tahun.
Data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2022 mendedahkan hanya 33.16 peratus sahaja daripada 210,966 sisa plastik dikitar semula.
Hal ini menyebabkan Malaysia berada di tangga kelima tertinggi dunia dalam isu pencemaran laut iaitu dengan kadar 2.29 kilogram plastik per kapita digunakan rakyat setiap tahun.
Memetik laporan sama, “Pencemaran laut itu turut menjejaskan terumbu karang di negara ini yang disahkan sedang mengalami kelunturan secara besar-besaran.”
Tinjauan Jabatan Laut dari April hingga Jun menunjukkan lebih 50 peratus terumbu karang terutamanya di Kepulauan Taman Laut seperti Pulau Payar (Kedah), Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol (Terengganu), Pulau Tioman (Pahang) dan Pulau Pemanggil (Johor) semakin terjejas.
Ketua Makmal di Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman pula berkata, sebahagian besar plastik yang digunakan berakhir di lautan sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran dan mengancam nyawa haiwan marin.
“Antara penyumbang pencemaran yang kritikal ke atas ekosistem laut ialah sisa plastik, haiwan marin berdepan risiko kepupusan angkara sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan kelestarian alam sekitar.”
“Situasi ini amat membimbangkan kerana sisa plastik yang hanyut di lautan akan membahayakan dan mengancam nyawa hidupan marin yang memakan partikel berkenaan yang disangka sebagai makanan,” jelas beliau.