Tempatan

Malaysia Perlu Tuntut Singapura dan Pulau Riau – Tun M

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2022 – “Kita bukan hanya perlu tuntut ketulan batu Pedra Branca ini, atau Pulau Batu Puteh ini, untuk dikembalikan kepada kita, kita perlu juga tuntut Singapura dan pulau-pulau Riau dikembalikan kepada Malaysia sebagai Tanah Melayu,” ucap Tun Dr Mahathir dalam sebuah program anjuran beberapa NGO di bawah Kongres Survival Melayu bertajuk “Aku Melayu: Survival Bermula”.

Ucapan bekas Perdana Menteri Malaysia itu disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin yang turut hadir. Ucaptama Tun Dr Mahathir bertajuk ‘Melayu & Kelangsungan Bangsa’ turut menfokuskan kepada perebutan semula Pulau Batu Puteh yang beliau rujuk sebagai ketulan batu bersaiz sebuah meja.

“Ini harus kita ingat, kita lebih menghargakan ketulan batu ini, lebih daripada pulau-pulau yang kita dapati, dan lebih juga dari pulau Singapura, yang juga adalah milik Negeri Johor. Sepatutnya Negeri Johor membuat tuntutan, supaya pulau Singapura juga dikembalikan kepada Johor dan kepada Malaysia, tetapi tidak ada sebutan apa pun berkenaan dengan Singapura, bahkan kita menunjuk penghargaan kita kepada kepimpinan negara baru yang dinamakan Singapura. Penghitungan kita tidak tepat,” kata Tun Dr Mahathir yang merujuk kepada Pulau Sipadan dan Ligitan sebelum itu yang dimenangi Malaysia melalui tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang beliau gambarkan sebagai lebih bernilai berbanding Pulau Batu Puteh.

Dalam ucapan beliau yang disiarkan secara langsung dalam media sosial, Tun Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Tanah Melayu yang dahulunya terbentang luas dikenali dari Tanah Genting Kra di selatan Thailand sehingga ke Kepulauan Riau dan Singapura, tetapi kini terbatas hanya di Semenanjung Melayu.

“Saya tertanya sama ada Semenanjung Melayu akan menjadi milik oleh orang lain pada masa akan datang,” tambah beliau yang berpandangan bahawa Malaysia pada hari ini tidak dimiliki oleh Bumiputera kerana ramai Melayu kekal miskin dan lebih cenderung untuk menjual tanah mereka sendiri.

“Jika kita dapati kita salah, kita perlu memperbetulkan kesilapan ini supaya tanah kita kekal sebagai Tanah Melayu,” ujar beliau yang menggesa para hadirin untuk belajar daripada kesilapan lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: