Tempatan

Malaysia Perlu Gerakkan Negara Islam Untuk Tekan Israel – Muhamad Hisham bin Marzuki PPMM

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

14 Mei 2021/2 Syawal 1442H

1. Di dalam kemeriahan umat Islam menyambut perayaan Aidil Fitri pada tahun 1442 Hijrah dengan aman damai di Malaysia, PPMM tidak melupakan nasib sedang dialami oleh rakyat Palestin yang kini dalam suasana hiba menyambut Perayaan Aidilfitri di bumi Palestin. PPMM merujuk kepada pengusiran 200 buah keluarga terdiri daripada rakyat Palestin di Sheikh Jarrah oleh penceroboh haram Zionis Israel, pencerobohan masuk rejim Zionis Israel ke dalam ruang ibadat Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang menunaikan ibadat pada malam 27 Ramadhan 1442 Hijrah dan pengeboman terkini ke atas umat Islam Palestin di Gaza.

2. PPMM mengikuti setiap perkembangan yang berlaku sehingga ke hari ini dan menzahirkan sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin di dalam membebaskan negara Palestin daripada penaklukan haram oleh Zionis Israel sejak tahun 1948.

3. PPMM bertegas dan berkongsi pendirian yang kukuh dengan kerajaan Malaysia yang tidak pernah berubah sejak awal bahawa perjuangan rakyat Palestin ke arah membebaskan Baitulmaqdis dan keseluruhan negara Palestin sebagai suatu yang sah mengikut undang-undang antarabangsa dan sebagai hak mempertahankan diri (“act of self-defence”) terhadap kekejaman Zionis Israel. PPMM juga mengutuk dengan keras segala tindakan oleh rejim Zionis Israel yang jelas merupakan suatu perlanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa. PPMM turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negara Malaysia yang terus konsisten di dalam mengutuk dan mengeji tindakan kejam rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

4. Sehubungan itu, PPMM menyeru kepada pihak kerajaan untuk bersatu padu bersama negara-negara Islam lain di dalam membela nasib rakyat Palestin dan menjaga kesucian salah satu daripada tiga masjid suci Islam daripada terus dicemari dan dikotori oleh kebobrokan dan kekejaman rejim Zionis Israel. PPMM juga berpendirian tegas bahawa perjuangan rakyat negara Palestin adalah sebagai suatu tanggungjawab bersama bagi setiap muslim sejagat di dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa dan bukan sebagai isu terpencil yang dialami oleh rakyat Palestin sahaja (“isolated issue”).

5. Kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ini jelas menzahirkan penyelesaian dua negara (two state solution) berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu kota Palestin telah gagal menyelesaikan kemelut ini kerana Zionis Israel tidak pernah mengiktirafnya. Palestin perlu kemerdekaan penuh dan ditadbir secara bebas oleh orang Islam sebelum kedatangan Zionis Israel.

6. Selain itu, PPMM menggesa Kementerian Luar terus membantu rakyat Palestin melalui saluran antarabangsa di dalam terus memberikan tekanan kepada rejim Zionis untuk menghentikan pembunuhan dan pengeboman ke atas orang awam terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa yang terus meningkat.

7. PPMM juga menghargai setiap tindakan rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Zionis Israel ini walaupun sekadar menulis di media sosial, menyebarkan kempen anti Zionis Israel ataupun memberi bantuan kewangan. Mudah-mudahan kesemua usaha ini dinilai oleh Allah SWT sebagai ibadah kepadaNya.

8. PPMM selanjutnya menggesa umat Islam di Malaysia menzahirkan kesyukuran atas nikmat keamanan yang diperolehi hasil daripada perjuangan pejuang-pejuang negara yang telah berkorban jiwa dan raga demi memastikan nikmat ini dapat dikecapi anak-anak bangsa sehingga sekarang. Justeru, setiap umat Islam perlu menjaga dan memelihara nikmat keamanan ini dan terus memberi segala sokongan dan mendoakan perjuangan rakyat negara Palestin demi mempertahankan dan membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan rejim Zionis Israel.

9. Malaysia perlu menggerakkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Organisation of Islamic Countries (OIC) dan semua kesatuan negara lain untuk memberi tekanan kepada Israel. Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga perlu memulakan prosiding keganasan Israel terhadap Palestin.

10. Kami saf pimpinan dan ahli PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin ini dapat diakhiri segera dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan.

Muhamad Hisham bin Marzuki
Timbalan Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button