Tempatan

Malaysia Mungkin Tidak Setuju Wujud Negara Merdeka Melayu-Islam Selatan Thai – P Ramasamy

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 04 Ogos 2022 – “Malaysia mungkin tidak bersetuju untuk kewujudan satu lagi negara merdeka untuk orang Melayu-Islam di wilayah selatan. Ayunan kuasa antara politik awam dan ketenteraan kerajaan Thai dalam perkara ini adalah sesuatu yang tidak memihak kepada orang Melayu-Islam di selatan Thai,” kenyataan ini dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor Dr P. Ramasamy mengenai cabaran dalam menamatkan konflik antara Melayu-Islam (wilayah selatan) dan kerajaan Thai melalui akaun rasmi Facebook miliknya.

Ramasamy berkata, gencatan senjata Ramadan antara Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan kerajaan Thailand telah berakhir pada 14 Mei 2022 dan baru-baru ini, pada 1 hingga 2 Ogos, rundingan damai bagi pusingan ke-5 telah berlangsung di Kuala Lumpur di antara kedua-dua pihak di mana, Malaysia memainkan peranan sebagai pihak pengantara.

Dalam rundingan damai tersebut, beberapa kemajuan telah dicapai kerana kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan di kemudian hari. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mendakwa;

“Tujuan utama pusingan rundingan terbaharu yang diadakan di Kuala Lumpur adalah untuk mengurangkan keganasan sistematik untuk memulakan proses perundingan awam dengan mengambil kira penyelesaian masa jangka panjang. Sama ada dialog damai akan membawa sebarang penyelesaian kepada salah satu konflik yang paling lama dan membawa maut di Asia atau tidak, masih tidak pasti.”

Sama ada keamanan muktamad di wilayah Melayu-Islam di Selatan Thailand akan dapat diwujudkan ataupun tidak, Ramasamy dalam kenyataan sama menyatakan beberapa cabaran utama bagi pihak yang terlibat. Antaranya, sama ada terdapat tekanan antarabangsa yang mencukupi terhadap kedua-dua kerajaan BRN dan Thailand untuk rundingan proses damai secara serius yang pada ketika ini, masih belum dapat dikenal pasti.

“Walaupun BRN mungkin bermanfaat daripada tekanan antarabangsa, tetapi ia mungkin tidak menguntungkan bagi kerajaan Thailand. Orang Thai mungkin menganggap penglibatan luar sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara,” ujar Ramasamy yang mana, sehingga kini hanya ada satu wakil dari luar negara yang dibenarkan duduk di barisan panel dialog.

Cabaran kedua mengikut pandangan Ramasamy adalah mengenai penglibatan Malaysia sebagai fasilitator atau orang tengah iaitu bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor yang mungkin akan menimbulkan masalah.

Menurutnya, walaupun wakil BRN gembira dengan penglibatan Malaysia dalam menganjurkan rundingan, membenarkan pergerakan bebas pemberontak masuk dan keluar negara, tetapi terdapat kebimbangan bahawa Malaysia di bawah tekanan dari Thailand yang mungkin mahukan penyelesaian segera berkenan masalah itu dengan menekan BRN.

“Perbincangan antara BRN dan kerajaan Thailand dijayakan melalui gerakan pintu belakang dan inisiatif yang mungkin tidak diketahui oleh Kerajaan Malaysia. Ini boleh menjadi sebab mengapa Malaysia baru-baru ini bertindak balas dengan menangkap beberapa ahli BRN dan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa Thailand.”

Ramasamy berkata, perlu diingat dalam kes konflik Aceh, pertubuhan pemberontak, Gerakan Aceh Merdeka (GAM) memastikan sejak awal bahawa mereka tidak akan sekali-kali melibatkan Malaysia sebagai fasilitator dalam konflik dengan Indonesia kerana mengganggap Malaysia bersikap tidak saksama. Inilah fakta-fakta walaupun ribuan pelarian Aceh melarikan diri dari perang saudara bagi mencari perlindungan di Malaysia.

“Ketiga, kebanyakan dialog damai menghadapi masalah dari segi apa yang dipersetujui dan apa yang dilaksanakan. Walaupun kedua-dua kerajaan BRN dan Thailand telah bersetuju untuk mengurangkan permusuhan dan perang bersenjata, pelaksanaan sebenar mungkin menjadi masalah. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak mungkin tidak mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas pasukan mereka.” Dalam situasi seperti ini, Ramasamy mendapati kemungkinan bagi proses pendamaian itu disabotaj akan wujud.

“Keempat, walaupun BRN diiktiraf sebagai wakil rasmi Melayu Islam Pattani, mereka mempunyai tandingan untuk kerusi wakil tersebut daripada pertubuhan lain. Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), sebuah gerakan pembebasan yang lain, telah dikecualikan daripada proses damai. Terdapat kebimbangan bahawa sekiranya BRN membuat terlalu banyak konsesi kepada kerajaan Thai, peningkatan radikalisasi anak muda Melayu mungkin boleh dilakukan melalui usaha PULO. Serangan ke atas pasukan keselamatan Thai yang dilakukan mungkin adalah kerja PULO atau pihak lain walaupun terdapat gencatan senjata.”

Cabaran terakhir berdasarkan kenyataan pemimpin DAP itu, kerajaan Thailand mungkin tidak begitu menginginkan penyelesaian damai lebih-lebih lagi untuk peruntukan autonomi yang besar bagi wilayah Melayu-Islam di selatan negara tersebut dan usaha bagi mendapatkan sebuah negara yang merdeka buat orang Melayu-Islam di Selatan itu mungkin tidak akan menjadi satu kenyataan.

“Kesukaran politik awam dalam mengawal pertubuhan tentera menimbulkan masalah besar dalam usaha membentuk keamanan di selatan yang sering bergolak. Pihak berkuasa tentera Thai mahukan masalah itu diselesaikan cepat dengan menumpaskan pemberontak untuk selama-lamanya. Pertubuhan awam mungkin mahukan rundingan yang berlarutan dengan BRN untuk membawa penyelesaian secara baik kepada pertikaian yang telah lama berlarutan.”

Ramasamy berpandangan, lima cabaran yang dilontarkan itu adalah sesuatu penting bagi mewujudkan keamanan di Selatan yang bergolak dan lebih daripada 7,300 nyawa telah terkorban dalam konflik itu sejak tahun 2004 sehingga kini.

“Sudah tentu, sejarah permusuhan antara Thailand yang didominasi oleh penganut Buddha dan majoriti Melayu-Islam di wilayah selatan sudah lama wujud dan berlarutan sehingga kini. Bukannya konflik tersebut tidak boleh diselesaikan dengan penyelesaian yang memuaskan yang boleh diterima oleh semua pihak yang terlibat.”

Menutup kenyataan, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, rundingan damai yang menjadi makanisme penting dalam membina kepercayaan dan amanah yang harus digalakkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: