Tempatan

Malaysia Menang Lagi Kes Tuntutan Sulu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 Jun 2023 – Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia.

Penghakiman menolak untuk mengiktiraf Final Award yang dikeluarkan melalui proses timbang tara tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.

BACA JUGA: AWAS! Tanah Runtuh Di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

BACA JUGA: Ramalan Cuaca Khas Sempena Hari Raya Aidiladha

BACA JUGA: Kes Adib: 17 Tertuduh Dibebaskan

Keputusan itu adalah satu kemenangan penting kepada Kerajaan rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lalu.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Kerajaan Malaysia di Belanda.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya Final Award yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir AS$15 bilion dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.”

“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan Final Award di negara-negara lain,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tegasnya, kes Sulu membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara.

Walau bagaimanapun, jelasnya, Kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

“Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: