Malaysia Lancar Satelit Pertama Ke Angkasa
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2023 – Malaysia berjaya melancarkan satelit buatan tempatan pertama ke angkasa lepas pada 27 Jun 2023 baru-baru ini.
Portal tempatan melaporkan, pelancaran Satelit A-SEANSAT-PG1 (PG1) oleh ANGKASA-X itu disiarkan secara langsung di empat lokasi di Malaysia iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown, Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pejabat GreenPro Capital di Kuala Lumpur dan Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) di Kuching, Sarawak yang disiarkan dari Vostochny Cosmodrome.
BACA JUGA: Sewa Kedai Naik 700%, Peniaga Pasar Runsing
BACA JUGA: Hukum Pihak Tidak Sealiran Ideologi, Ancam Keselamatan Negara –JAKIM
BACA JUGA: Isu Sekolah Islam Persendirian: Kerajaan Negeri Akan Bawa Ke MMKN
Pasukan pelancaran satelit sulung ANGKASA-X ini diketuai oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasinya, Dr William Lim dan Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Ir Norhizam Hamzah bersama pasukan kejuruteraan ANGKASA-X.
Tambah portal, Satelit A-SEANSAT-PG1 (PG1) akan menghantar data yang sangat diperlukan oleh Kerajaan, agensi keselamatan dan sektor swasta dalam bidang ramalan cuaca, pengesanan pesawat, pemantauan dan keselamatan maritim serta pengimejan masa nyata di lokasi yang terdedah kepada potensi bencana seperti tanah runtuh, penebangan hutan dan lain-lain.
Selain itu, imej daripada satelit itu juga akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko dan membantu usaha bantuan bencana untuk menyelamatkan jutaan nyawa dan juga menyediakan ciri geografi khusus yang akan membantu perancang bandar untuk membuat keputusan termaklum bagi pembangunan yang berkesan serta menyeluruh.
Melalui pelancaran Satelit PG1, ANGKASA-X akan memanfaatkan pengetahuan teknologinya untuk menerajui perkhidmatan ‘Satellite-as-a-Service’ (SaaS) yang inovatif, untuk membentuk gugusan satelit ‘Low-Earth-Orbit’ (LEO) di sepanjang garisan khatulistiwa, yang direka di Malaysia oleh jurutera tempatan.
Gugusan satelit LEO akan berhubung dalam mencapai inisiatif berwawasan syarikat dengan menyediakan perkhidmatan pengesan jarak jauh mampu milik dan merevolusikan perkhidmatan kesalinghubungan internet kepada jutaan pengguna di rantau ini, khususnya di kawasan luar bandar di Asia, seterusnya merapatkan jurang digital.
Pelancaran satelit ini juga dilaporkan bakal memacu pembangunan ekosistem teknologi angkasa lepas di Malaysia dan Asia Tenggara.