Malaysia Kritik Sikap Pilih Kasih Barat Lindungi Rejim Israel
AZERBAIJAN, 07 Julai 2023 – Malaysia mengkritik sikap pilih kasih negara-negara Barat yang kerap mengecam konflik di negara-negara lain tetapi melindungi rejim Israel yang bertanggungjawab ke atas tindakan penindasan terhadap warga Palestin.
Demikian antara perkara yang dibangkitkan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Bin Abdul Kadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Mengenai Palestin yang berlangsung baru-baru ini.
Tegas beliau, negara menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di Palestin yang telah mengorbankan nyawa orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan bangunan dan infrastruktur secara berterusan.
BACA JUGA: Kos Haji Swasta Mungkin Capai Sehingga RM60,000 Tahun Depan
BACA JUGA: Sweden Pertimbang Haramkan Pembakaran Al-Quran
BACA JUGA: PRN: 661, 905 Pengundi Muda Lingkungan 18-20 Tahun
Selain itu, Malaysia mengecam jumlah peningkatan penempatan haram di Palestin dan tindakan rejim Zionis Israel memperlekehkan undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Dr Zambry turut membangkitkan bahawa Malaysia kesal dengan insiden terkini yang berlaku di Jenin melibatkan pembunuhan rakyat awam oleh rejim haram aparteid Israel.
Justeru, Malaysia menggesa Negara-Negara Anggota NAM terus bersatu dalam mempertahankan pendirian berprinsip NAM mengenai Palestin, serta mengecam kekejaman dan dasar aparteid rejim Israel.
Ujar menteri itu, konflik Israel-Palestin sudah berlanjutan lebih 70 tahun dan ini perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat global. Beliau sendiri memohon NAM kekal berprinsip tidak menyokong mana-mana penindasan terhadap masyarakat atau negara lain berlaku.
Mengulas lanjut, mesyuarat berkenaan dihadiri oleh 15 Negara Anggota NAM yang merupakan ahli Jawatankuasa NAM Mengenai Palestin.