Malaysia Konsisten Main Peranan Tangani Krisis Kemanusiaan Di Palestin – Menteri Luar Negeri
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2024 – “Malaysia sentiasa konsisten dalam memainkan peranan bagi menangani krisis kemanusiaan dan hak asasi di Palestin. Malaysia komited dalam perjuangan agar hak rakyat Palestin dikembalikan, menyokong penubuhan negara Palestin Merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).”
Demikian jawapan daripada Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Hasan bagi menjawab kepada pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) berhubung peranan terkini Malaysia dalam krisis kemanusiaan dan hak asasi di Palestin.
Menurut Mohamad, beliau semasa menyampaikan kenyataan Malaysia pada 11 Jun 2024 di Persidangan Peringkat Tinggi “Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza” telah mendesak Israel untuk menghentikan krisis kemanusiaan dan genosid di Gaza.
Dalam persidangan itu juga, Malaysia turut menyokong Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024) yang menyeru gencatan senjata segera, bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan pembinaan semula Gaza, serta menekankan keperluan menangani punca konflik iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel.
“Pada 8 Jun 2024, semasa Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri Luar Negeri D-8 di Istanbul, Malaysia juga menyeru anggota D-8 bersatu untuk mencapai gencatan senjata berkekalan di Gaza.
“Pada 5 April 2024, Malaysia telah menyokong Resolusi bertajuk “Human Right Situation in the Occupied Palestinian Territory, including East Jerusalem, and the Obligation to Ensure Accountability and Justice” yang dibentangkan oleh Pertubuhan Kerjasam Islam (OIC) di Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
“Resolusi tersebut menyeru semua negara menghentikan penjualan, pemindahan dan pengalihan senjata kepada Israel, menggesa gencatan senjata serta-merta, mengutuk penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan oleh Israel di Gaza, dan memberi amaran terhadap operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel di Rafah,” jelas beliau.