Tempatan

Malaysia Kemuka Kenyataan, Heret Zionis Israel Ke Muka Pengadilan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Disember 2023 – Malaysia sudah mengemukakan kenyataan bertulis yang diperlukan untuk mengheret rejim Zionis Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung jenayah kejam mereka terhadap Palestin.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata dalam sidang Dewan Negara, “Ini merupakan antara komitmen jitu negara untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menyokong desakan masyarakat antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan.”

Tambah beliau, negara juga akan mengambil bahagian dalam mengemukakan penyerahan lisan untuk tampil di ICJ pada 19 Februari tahun depan.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan, Kementerian Luar sedang memainkan peranan aktif dalam membantu mendesak masyarakat antarabangsa mengheret jenayah Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurut beliau, walaupun Malaysia bukan ahli Statut Rom ICC, negara masih boleh menyokong desakan berkenaan.

“Peranan itu termasuk bekerjasama secara ‘ad hoc’ dengan Pejabat Pendakwa Raya ICC bagi menyokong siasatan, selain membantu dari segi menyampaikan dokumen-dokumen perundangan atau memudahkan kehadiran saksi sukarela yang boleh menyokong kes itu apabila dikemukakan di ICC nanti,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: