Malaysia Jamin Bekalan Bijian Sentiasa Ada, Kurang Kebergantungan Pada Import
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
CHUPING, 26 Januari 2023 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) komited membangunkan industri jagung bijian bagi menampung keperluan negara dan mengurangkan kebergantungan daripada luar negara.
Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, jagung bijian merupakan salah satu tanaman strategik yang boleh meningkatkan pendapatan petani dan juga komponen penting bagi industri ternakan terutamanya ayam.
Oleh itu ujarnya, MAFS menyasarkan penghasilan 30 peratus keperluan jagung bijian dalam negara menjelang tahun 2032, bagi menjamin bekalan jagung bijian sentiasa ada di dalam negara walaupun berlaku krisis luar jangka di luar negara.
Baca juga : Harga Barang Mentah Tidak Turun, Tauke Mydin Sanggah Kenyataan Menteri
Baca juga : Acuan HDB, ‘Pecah-Perintah’ Demografi Berkiblatkan Singapura?
Baca juga : Banjir Makin Teruk, Terkini Banyak Sungai Melepasi Aras Bahaya
Jelasnya, industri ini telah dibangunkan di Perlis bermula tahun 2017 dan seterusnya diperluaskan dalam Projek Pembangunan Industri Jagung Bijian di bawah Program Sumber Kekayaan Baharu bagi mengurangkan import bahan asas makanan ternakan.
Hasilnya sehingga kini, keluasan penanaman jagung bijian di Perlis adalah seluas 163.7 hektar.
Dalam pada itu beliau berkata, Jabatan Pertanian Negeri Perlis menyasarkan seluas 500 hektar untuk dibangunkan di Negeri Perlis menjelang tahun 2025.
“Kerjasama strategik di antara Jabatan Pertanian dan Green World Genetic Sdn Bhd (GWG) dilihat mampu memberi impak positif kepada agenda agromakanan negara di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 telah menetapkan sasaran menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke ladang jagung bijian di Lembah Chuping, Perlis pada Selasa lalu.
Secara keseluruhan pada tahun 2022, kementerian telah membangunkan seluas 253 hektar dengan pengeluaran sebanyak 835 metrik tan bagi menyumbang keperluan jagung bijian negara.