Malaysia Enggan Bayar RM63 Bilion Kepada Waris Kesultanan Sulu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 04 Mac 2022 – Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan tuntutan RM63 bilion yang dibuat oleh waris Kesultanan Sulu berikutan dakwaan pelanggaran Perjanjian 1878.
Menurut Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara, tuntutan tersebut tidak bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara.
Malahan, Perjanjian 1878 itu juga tidak mempunyai sebarang perkara dalam peruntukan timbang tara.
“Identiti pihak yang mendakwa waris yang melakukan tuntutan itu juga diragui dan belum disahkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Kerajaan Malaysia diarahkan membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion kepada waris Kesultanan Sulu yang terakhir setelah melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent, pemilik North Borneo Chartered Company.
Kerajaan Malaysia membantah tindakan Final Award yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa dan menganggap ia mencabuli kekebalan kedaulatan Malaysia serta tidak mempedulikan keputusan-keputusan mahkamah di Madrid dan Paris.
Berikutan itu, satu aduan jenayah telah difailkan oleh Pendakwa Raya Sepanyol terhadap Dr. Stampa atas kesalahan menghina mahkamah yang serius dan tindakannya yang tidak sah di sisi undang-undang.
Justeru, Malaysia mengambil semua langkah yang sepatutnya termasuk tindakan undang-undang bagi menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan Malaysia terpelihara dan dilindungi.