Tempatan

Malaysia Berpotensi Menjadi Perintis Industri Halal

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 September 2022 – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18 yang dianjurkan di ibu kota Kuala Lumpur menjanjikan Malaysia sebagai perintis industri halal, ujar Azmi Mustafa, pengasas Dreiha Handels.

Lapor media antarabangsa, Malaysia telah menganjurkan salah satu pameran produk halal terbesar di dunia sekali gus membuka peluang kepada pembeli untuk mengimport barangan dari negara Asia Tenggara itu.

Azmi Mustafa yang juga merupakan pembekal makanan di Jerman memuji produk negara dengan mengatakan, “Malaysia mempunyai pelbagai produk makanan. Dan masakan Malaysia adalah bertaraf dunia.”

Mengulas lanjut mengenai sektor makanan halal di Eropah, beliau berkata bahawa sektor tersebut sedang berkembang pesat, khususnya di Jerman kerana mempunyai ramai penduduk Muslim.

“Negara itu mempunyai bilangan orang Islam yang cukup besar, terutamanya orang Turki dan orang dari negara Islam lain. Jadi, mereka mahu mendapatkan barangan makanan halal di pasar raya, terutamanya pasar raya yang dikendalikan orang Islam.”

Bukan itu sahaja, rakyat Jerman yang bukan Islam turut berminat untuk mendapatkan produk halal. Katanya, halal bukan hanya dikaitkan dengan agama malah bermaksud bersih, kebersihan dan setiap langkah prosedur pengeluarannya dipantau dengan teliti.

Tambah beliau, “Halal adalah masa depan bukan sahaja di negara Islam tetapi juga di negara bukan Islam. Sektor ini sedang berkembang di merata tempat dengan sangat pantas. Ia akan menjadi industri yang sangat besar.”

Sementara itu, seorang ahli perniagaan India, Prince Chatterjee begitu teruja melihat inovasi dan peluang meluas untuk menjalinkan perniagaan dengan pengeluar Malaysia.

Katanya, “Saya telah melihat produk Malaysia. Mereka sangat bertaraf dunia. Banyak inovasi baharu dan menarik berlaku di sini.”

Ketika bertemu dengan pengeluar di MIHAS, beliau bersemangat melihat konsep baharu, inovasi dan gabungan produk serta inisiatif pembungkusan yang wujud di Malaysia.

Ujar beliau, syarikatnya sedang mencari peluang untuk mendapatkan produk penjagaan kecantikan seperti penjagaan kulit, rambut, kosmetik solekan dan produk mandian daripada pengeluar di Malaysia.

Terkini, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Ke-18 sedang berlangsung dari 7 hingga 10 September 2022 dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan sebanyak RM1.9 bilion pada tahun ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: