Malaysia Banyak Cuti Umum, Tak Perlu Kerja Empat Hari Seminggu – Presiden FMM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 13 Julai 2022 – Negara seperti Malaysia tidak memerlukan sistem bekerja empat hari seminggu kerana sudah begitu banyak cuti umum, ujar Soh Thian Lai, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) baru-baru ini.
“Seperti yang berlaku pada masa ini, pekerja yang bekerja lima hari seminggu secara puratanya cuma bekerja kira-kira empat hari selepas mengambil kira banyak cuti umum, cuti sakit, cuti bersalin, dan lain-lain cuti,” katanya menurut Malaysian Insight.
Soh Thian Lai menekankan kesan terhadap kecekapan dan produktiviti sekiranya sistem waktu kerja empat hari seminggu dilaksanakan.
Walaupun Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mula menjalankan kajian terhadap sistem tersebut, namun kebanyakan syarikat dan majikan masih tidak bersedia untuk melaksanakannya kerana akan berlaku penambahan kos kepada syarikat.
Soh berpendapat, sebarang percubaan untuk memperkenalkan perubahan dalam corak bekerja haruslah mengambil kira faktor lain seperti kos kepada syarikat. Sekiranya pelaksanaan itu meningkatkan kos, ia akan membebankan pengguna melalui produk dan perkhidmatan.
“Waktu kerja yang dikurangkan akan mengakibatkan peningkatan kos gaji atas nama fleksibiliti tempat kerja kerana operasi kilang khususnya, berjalan secara 24 jam, 7 hari seminggu.”
“Sebarang kerja yang dilakukan melebihi empat hari kerja akan dianggap sebagai kerja lebih masa,” tambahnya.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman juga mengatakan bahawa sistem bekerja empat hari seminggu sukar dilaksanakan kerana tidak semua sektor memerlukan waktu bekerja sedemikian.
Soh turut menggesa JPA berunding terlebih dahulu dengan pemain industri sebelum memutuskan perkara tersebut.