Malaysia Akan Jadi Seperti Afghanistan – Nga Kor Ming
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 14 November 2022 – Pemimpin Democratic Action Party (DAP), Nga Kor Ming memberi amaran dalam Bahasa Mandarin, sekiranya Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada BERSATU berasaskan Melayu dan PAS itu berkuasa maka, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan, lapor media tempatan.
Nga Kor Ming mendakwa, jika PAS mentadbir negara ini, “Malaysia akan musnah” kerana PAS adalah sebuah parti yang mengetengahkan dasar ‘melampau’ mengenai perjudian, arak, konsert dan pengasingan lelaki dan wanita yang dikatakan mengancam nilai sekular dan kepelbagaian budaya negara.
Oleh itu, sudut pandangannya mendapati, dasar-dasar ini akan “menceroboh” kebebasan orang bukan Islam serta membawa kepada penghijrahan keluar pelabur asing yang seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi.
“PN telah mengumumkan sekiranya gabungan itu menang, calon PAS akan menjadi menteri besar bagi Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.”
Apa yang lebih teruk ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang akan menggantikan Pengerusi (PN) Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Untuk mengelakkan perkara yang tidak dapat dibayangkan ini, kita tidak boleh memberikan satu undi kepada PN demi mempertahankan kepelbagaian budaya, hak asasi manusia dan kebebasan,” katanya yang menurut laporan sama, pemimpin DAP itu menghidupkan semula amaran ‘Taliban’nya menjelang pilihan raya umum dalam usaha memastikan pengundi bukan Islam tidak membuang undi kepada PN, yang termasuk dengan Gerakan yang majoritinya kaum Cina.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa orang bukan Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) agar mengelakkan sentimen perkauman, Raja-Raja dan kedudukan agama Islam yang mengkritik atau mempersendakan pemimpin Melayu kerana ia akan membolehkan pesaing gabungan itu memutar belit isu tersebut bagi keuntungan mereka.
“Elakkan juga mengulas mengenai institusi Melayu, termasuk sistem raja berperlembagaan, bahasa kebangsaan, dan kedudukan agama Islam.”
“Marilah kita mengekalkan keharmonian dan saling menghormati dalam negara kita yang berbilang kaum. Bersama-sama, kita boleh menamatkan unsur-unsur perkauman yang disebarkan oleh Umno, PAS, dan Bersatu,” katanya.