Malaysia Adalah Tanah Air, Ibu Pertiwi – Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
KUALA LUMPUR, 23 Februari 2023 – “Malaysia ialah Tanah Air atau Ibu Pertiwi kita, jadi orang Cina di Malaysia ini, tanah air mereka Malaysia lah bukannya negeri China. Motherland dia mesti Malaysia maknanya dia Warganegara Malaysia.” Tegas Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
“Jadi Malaysia adalah tanah airnya, ibu pertiwinya adalah motherlandnya, dan sejarah dirinya itu tidak boleh diubah lagi kerana dia telah lahir di sini.”
Cumanya, bahasa ibundanya itu adalah bahasa yang diajar ibu bapa sejak dia kecil ataupun menjadi bahasa rasmi di zaman dia membesar sebagai kanak-kanak waktu itu, jelas beliau lagi.
BACA JUGA: Kumpulan B40, M40 Paling Banyak Keluarkan KWSP
“Pertama sekali kita kena faham, apa yang dimaksudkan dengan bahasa ibunda adalah bahasa pertama dan bahasa tertentu yang seseorang itu kuasai sebagai seorang kanak-kanak. Maka itulah, bahasa ibunda mereka,” ujar Felo Majlis Profesor Negara itu lagi.
Pengaruh bahasa awal itu selalunya datang dari pertuturan kebiasaan ibu bapa, datuk nenek, adik beradik dan saudara mara terdekat yang menjadikan sesuatu bahasa tertentu itu sebagai bahasa pertuturan harian mereka.
BACA JUGA: 50 Ribu Pelajar SPM Gagal Bahasa Melayu & Sejarah
“Ada juga orang Melayu yang bahasa ibundanya Bahasa Inggeris, maknanya seorang itu dia belajar dan diajar serta berjaya kuasai Bahasa Inggeris ketika usia kanak-kanak lagi.”
Misal mudah fahamnya, ketika dia mula nak pandai bercakap ibu bapanya mengajarnya dan bercakap dengannya menggunakan Bahasa Inggeris dan dia membesar dengan bahasa ibundanya Bahasa Inggeris dan dia tidak diajar pun tentang Bahasa Melayu sebelum itu dan ada juga segelintir orang Melayu yang macam tu. Jadi, itu yang menjadikan Bahasa Inggeris itu bahasa ibunda kepada anak itu.
BACA JUGA: Bahasa Kebangsaan Itu Bahasa Rakyat Malaysia
Teo Kok Seong juga berpandangan khususnya dalam kalangan Warganegara bukan Melayu, secara umumnya mereka tidak menguasai Bahasa Negara ini iaitu Bahasa Kebangsaan dengan baik.
Menurut beliau, memang mereka belajar di sekolah betul, itu kita tak nafikan, tetapi mereka belajar atas dasar instrumental iaitu untuk memenuhi syarat-syarat pendidikan tertentu sahaja.
Misalnya, untuk lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, kalau tidak dia gagal dalam peperiksaan awam, maka dia belajar atas dasar instrumental untuk memenuhi syarat-syarat tertentu itu.
Walhal, sepatutnya mereka belajar Bahasa Melayu ini perlulah termasuk juga atas dasar integratif untuk berkongsi dan berkomunikasi dengan baik dalam komuniti Bahasa Melayu.
Maknanya, mereka cekap berbahasa Melayu dan tahu tatabahasa Bahasa Melayu serta mereka tahu tentang budi bahasa dalam Bahasa Melayu.
Maksudnya, apabila mereka bercakap dengan orang Melayu terutamanya dengan orang Melayu yang lebih tua tidaklah digunakan ‘awak’ misalnya untuk memanggil orang yang lebih tua.
Anak-anak Cina ini, mereka sopan sebenarnya cuma penggunaan perkataan itu ada kalanya tidak tepat dengan situasi dan maksud kerana mereka menggunakan kesopanan Bahasa Cina ataupun Bahasa Inggeris yang tidak sama dengan Bahasa Melayu dan agak janggal tanpa diaplikasikan budi bahasanya sekali sewaktu penggunaan Bahasa Melayu.
Itulah, yang perlu didalami dan diteliti bagi menguasai Bahasa Melayu agar lebih mesra dan bersopan santun dari segi tatabahasanya juga.
Kerana itu, tidak keterlaluan saya katakan Bahasa Kebangsaan itu masih kurang dihayati sepenuhnya oleh warganegara bukan Melayu.
Kebanyakkannya, hanya belajar secara tatabahasa sahaja. Tidak ada yang salah pun tetapi dari segi budi bahasa ia agak kurang manis, begitu.
Bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan dan sepatutnya sebagai warganegara kita mesti belajar mendalami Bahasa Melayu itu atas kedua-dua dasar tadi iaitu Dasar Instrumental dan Dasar Integratif.
Dasar Instrumental itu sebagai syarat penting untuk lulus peperiksaan awam SPM misalnya perlu mencapai kepujian dalam Bahasa Melayu untuk lulus.
Namun, dalam waktu yang sama mereka perlu juga belajar Bahasa Melayu atas dasar integratif untuk berkongsi dengan baik dan penuh kesopanan dan budi bahasa dalam komuniti Bahasa Melayu secara amnya.