Makmal Nuklear AS Digodam “Makhluk Berbulu”
AMERIKA SYARIKAT, 23 November 2023 – Makmal Kebangsaan Idaho (INL) yang juga merupakan hub kajian nuklear yang kini berkhidmat untuk Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS) telah mengesahkan bahawa ianya telah mengalami pencerobohan keselamatan siber pada awal minggu ini.
Perkara tersebut telah disahkan menerusi kenyataan makmal itu pada Rabu lalu, di mana sekumpulan penggodam “gay furry hackers” yang dikenali sebagai SiegenSec telah mengakui bahawa pencerobohan tersebut adalah hasil perbuatan mereka.
“Pencerobohan data besar-besaran” yang berlaku di INL telah berlaku pada malam Ahad lalu dan telah menyebabkan kebocoran maklumat-maklumat seperti alamat, nombor sekuriti sosial, maklumat akaun dan lain-lain maklumat sulit para pekerja makmal tersebut.
Maklumat-maklumat yang dibocorkan itu kemudiannya telah dihantar ke dalam talian sebagaimana yang telah dilaporkan oleh media tempatan.
INL terletak di Idaho Falls di mana terdapat sebuah komuniti yang terdiri daripada sekitar 67,000 penduduk di kawasan timur negeri itu. Ianya turut mempunyai lebih 5,000 pekerja dan ianya kini sedang menjalankan kajian mengenai reaktor nuklear dan projek-projek tenaga mampan bagi kerajaan pusat.
Pada awalnya, media tempatan tidak menamakan mana-mana suspek penggodam namun kemudiannya terdapat sebuah kumpulan yang menamakan dirinya sebagai SiegedSec yang telah mengaku melakukan perbuatan tersebut serta membuat hantaran beberapa maklumat yang digodam ke media sosial.
Kumpulan penggodam yang sama juga telah mengaku bertanggungjawab dalam membocorkan ratusan dokumen NATO pada awal Oktober lalu dan juga telah berjaya menggodam beberapa kerajaan negeri AS pada Jun tahun ini.