Majoriti Penduduk Kampung Baru Setuju Pengambilan Tanah – Pengarah Tanah Dan Galian KL
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 Jun 2022 – Majoriti penduduk bersetuju dengan pengambilan tanah bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, kata Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Yasir Yahya.
“Setakat ini, pengambilan tanah telah sempurna dilaksanakan terhadap 72 petak rumah pangsa bagi tujuan pembangunan semula. Pengambilan tanah juga dilaksanakan ke atas pemilik tanah yang tidak menandatangani usaha sama dengan pemaju. Hanya berbaki 37 unit rumah teres sahaja lagi yang masih belum dilaksanakan siasatan.”
Ujarnya, projek pembangunan semula itu mendapat persetujuan sebahagian besar penduduk kawasan terbabit dan perjanjian usaha sama sudah ditandatangani antara 192 petak rumah pangsa dan 27 unit rumah teres dengan pemaju.
Tambahnya lagi, urusan pengambilan tanah adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang jelas, apatah lagi pampasan yang mencukupi telah diguna pakai berdasarkan nilai yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).
“Namun begitu, pihak yang terkilan terhadap nilai pampasan ini masih boleh merayu kepada mahkamah dan mahkamah akan menilai semula pampasan bersesuaian kepada perayu,” katanya.
April lalu, media melaporkan penduduk Pangsapuri Sungai Baru di Kuala Lumpur dikejutkan dengan penerimaan Borang K atau notis pengosongan rumah dalam tempoh 42 hari biarpun ada antara mereka masih belum menerima pampasan sepenuhnya.
Menurut seorang wakil penduduk yang bernama Ibrahim, seharusnya penduduk diberikan masa dan perbincangan bersama semua pihak sebelum diarahkan untuk mengosongkan rumah.
Malah, penduduk di situ terutamanya penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).
“Apabila kami minta mengadakan perbincangan, mereka menggunakan warta untuk mengusir kami secara paksaan,” ujarnya.