Majoriti Pekerja Ekonomi Gig Tidak Mencarum KWSP
KUALA LUMPUR, 09 Julai 2023 – Kira-kira 1.08 juta daripada 1.2 juta pekerja ekonomi gig dianggarkan tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun Kerajaan memperkenalkan Insentif Persaraan menerusi skim i-Saraan.
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, tekanan ekonomi mungkin menjadi faktor pekerja gig tiada lebihan wang untuk disimpan apatah lagi untuk dicarum dalam KWSP yang tidak boleh dikeluarkan walaupun mereka dalam keadaan terdesak.
BACA JUGA: Pemilik Crackhouse Comedy Mengaku Salah, Didenda RM8,000
BACA JUGA: e-Negarawan: Teroka Sejarah Negara Dengan Kod QR
BACA JUGA: Threads Dilabel Pesaing Twitter, Daftar 30 Juta Pengguna
“Melalui tinjauan yang dibuat, majoriti memilih untuk tidak mencarum. Ada yang kata tidak tahu dan ada yang kata sebab tekanan taraf hidup meningkat, jadi tidak ada lebihan langsung untuk menyimpan lagi pula nak simpan dalam tempat yang susah mereka keluarkan, itu yang ramai tidak boleh beri komitmen.”
Katanya, majoriti pekerja sektor e-hailing berumur 35 hingga 55 tahun, manakala kebanyakan penghantar pula terdiri daripada belia di bawah 30 tahun.
Justeru katanya, lebih kurang 80 peratus golongan belia berisiko tiada simpanan minimum RM240,000 bagi menampung perbelanjaan selepas mereka mencapai usia 55 tahun.
Mengulas lanjut, Jose Rizal berkata, GEM menggesa Kerajaan mengeluarkan satu mekanisme menyeluruh untuk mewajibkan caruman melalui inisiatif i-Saraan dengan kelonggaran khas berbanding peraturan yang dikenakan kepada pekerja sektor formal.
Menurut beliau, langkah itu penting untuk membantu pekerja gig dalam tempoh jangka masa panjang apabila mereka sudah tidak lagi bekerja.
“KWSP perlu ada mekanisme agak berbeza supaya pekerja tidak formal ada sedikit kelonggaran untuk keluarkan wang bila mereka sangat memerlukan.”
“Kita kena berubah melalui peredaran zaman menyantuni ekonomi baharu dengan cara baru,” tegasnya.