Antarabangsa

Majlis Ulama Maghribi Larang Tayangan Filem Lady Of Heaven, Kisah Saidatina Fatimah R.A

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MAGHRIBI, 14 Jun 2022 – Majlis Tertinggi Ulama Maghribi melarang tayangan filem kontroversi British bertajuk ‘Lady of Heaven’ di pawagam negara berkenaan berikutan pemalsuan sejarah Islam secara terang-terangan.

Filem tersebut yang diterbitkan oleh Malik Shlibak mengisahkan tentang anak perempuan Nabi Muhammad S.A.W, Saidatina Fatimah R.A selain turut mengandungi perbuatan keji yang tidak boleh diterima umat Islam iaitu penjelmaan Nabi S.A.W.

Menurut Middle East Eye, filem itu juga mengandungi unsur ‘fitnah’ terhadap sahabat Nabi Muhammad, Abu Bakar As-Siddiq.

Sejak ditayangkan pada 3 Jun di United Kingdom (UK), ia telah mencetuskan kemarahan di kalangan umat Islam seluruh dunia, serta menyebabkan bantahan umat Islam di UK.

Seramai 120,000 orang menandatangani petisyen supaya menarik balik filem tersebut kerana plotnya tidak menggambarkan peristiwa sejarah yang tepat.

Susulan peristiwa itu juga, seorang Imam Masjid di Leeds, Qari Asim dilucutkan jawatannya sebagai perunding Islamofobia Kerajaan United Kingdom (UK) akibat bantahan terhadap tayangan filem Lady of Heaven.

“Saya secara peribadi tidak menghadiri atau menganjurkan mana-mana protes mengenai filem Lady of Heaven, kerana keutamaan saya adalah dialog dan bukan protes. Walau bagaimanapun, saya menyokong hak demokrasi rakyat untuk membantah dalam semangat kebebasan bersuara,” ujar beliau menerusi sebuah kenyataan yang dimuatnaik di laman Twitter.

Tambahnya lagi, “Saya berpendapat bahawa cabaran dan kritikan terhadap filem ini adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara.”

Selain Maghribi, filem Lady of Heaven turut dilarang di beberapa buah negara lain iaitu Mesir, Pakistan, Iran dan juga Iraq. Cineworld, pawagam rangkaian kedua terbesar di dunia turut membatalkan tayangan filem tersebut setelah protes diadakan oleh umat Islam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: