Tempatan

Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Kali Ini Disertai England, Kanada

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 07 Oktober 2022 – Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 buat pertama kalinya akan disertai peserta dari England dan Kanada, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Selain dua negara itu, pertandingan yang diadakan kali ini turut menampilkan penyertaan beberapa negara lain seperti peserta dari Mauritania, Afghanistan, Afrika Selatan dan Slovenia.

Menteri itu berkata, negara-negara tersebut adalah antara 31 buah negara yang bakal bertanding dalam MTHQA bermula 19 Oktober ini.

“Secara keseluruhan, 41 peserta akan mempersembahkan bacaan masing-masing selama enam hari bermula 19 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),” jelas beliau dalam sidang akhbar majlis pra pelancaran MTHQA kelmarin.

Sebelum ini, penganjuran MTHQA akan melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk. Namun pada kali ini, terdapat sedikit perbezaan apabila hanya satu kategori sahaja dipertandingkan iaitu tilawah al-Quran.

Mengulas lanjut, Idris berkata, sesi saringan kelayakan peserta MTHQA telah selesai dijalankan pada 1 hingga 7 Julai lalu secara dalam talian yang melibatkan seramai 64 orang peserta daripada 40 buah negara.

Sesi saringan tersebut dinilai oleh barisan jemaah hakim yang memiliki ilmu pengetahuan luas serta berpengalaman dalam bidang al-Quran.

Bukan itu sahaja, Idris memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Johan Qari dan Qariah sempena pertandingan itu.

Penganjuran kali ini juga menampilkan keunikan kerana menggunakan teknologi sistem tiga dimensi (3D) grafik realiti diperkukuhkan (AR) untuk meraih perhatian dan menyentuh jiwa penonton dalam mentadabbur ayat suci al-Quran.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: