Tempatan

Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Anjuran Malaysia, Ejen Penyatuan Ummah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2022 – Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-62 (MTHQA-62) yang diadakan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Rabu lalu itu dapat menyatupadukan ummah di seluruh dunia, kata Nor Farhatul Fairuzah Panut.

Tambah beliau yang merupakan Johan Qariah MTHQA Ke-61, MTHQA ini sangat bagus kerana ia adalah majlis agama yang membawa al-Quran, selain bagi beliau sendiri terluah rasa syukur kerana platform MTHQA memberinya peluang berjumpa dengan kawan-kawan lama dari pelbagai negara.

“Jadi kita kena lebih menguar-uarkan dan mengajak orang ramai untuk sentiasa bersama dengan al-Quran.”

Beliau juga menzahirkan rasa terharu melihat sambutan orang ramai terhadap MTHQA yang menandakan minat masyarakat kepada majlis agama semakin tinggi.

Dalam pada itu, peserta dari Iran, Masoud Noori berkata, MITQHA mampu membantu mengembangkan Islam di seluruh dunia dengan menampilkan qurra dan qariah yang hebat dalam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

MTHQA kali ke-62 ini membawa 36 peserta daripada 28 buah negara termasuk Malaysia untuk menyertai pertandingan yang berlangsung selama enam hari bermula 19 Oktober sehingga 24 Oktober 2022.

Sambutan MTHQA kali ini begitu meriah dengan kehadiran orang ramai dan masyarakat antarabangsa yang memenuhi ruang dewan Plenary, manakala orang ramai yang tidak berpeluang untuk hadir boleh menonton siaran langsung di laman media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta beberapa saluran lain.

Majlis pembukaan program tilawah al-Quran tersebut telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: