Majlis Selawat Pahang Undang Ulama’ Yaman
KUANTAN, 16 Oktober 2023 – Seorang ulama’ terkenal dari Yaman, Al-Habib Musa al-Kazim Bin Ja’afar Bin Muhammad as-Saggaf dijadualkan akan bersama warga Pahang pada Selasa ini, 17 Oktober 2023 dalam menjayakan majlis Pahang Berselawat.
Majlis besar-besaran anjuran Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang itu adalah bersempena dengan bulan kelahiran Junjungan Besar umat Islam, Nabi Muhammad ﷺ, akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Selain daripada Al Habib Kazim, majlis yang sama turut akan disertai oleh YBhg Ustaz Zul Ramli M. Razali yang akan menyampaikan tausiah, selawat dan qasidah pimpinan Ustaz Bazli Hazwan (UNIC) dan Kumpulan Firqah Nurul Huda Al-Hadi, Kuantan.
Sebelum ini, negeri Pahang telah beberapa kali mengadakan majlis yang berkonsepkan selawat serta menyambut bulan kelahiran Nabi Muhammad ﷺ dalam usaha menyemarakkan cinta dan kasih pada perjuangan Rasulullah ﷺ di samping menyuburkan nilai etika Islam dan memperkasakan mahabbah fillah.
Al Habib Kazim adalah seorang pendakwah yang terkenal yang berasal dari Yaman, sekarang ini beliau merupakan tenaga pengajar di Institusi Pengajian Islam Darul Mustofa, Kampus Induk di Tarim dan beliau juga Ahli Jawatankuasa Ifta. Beliau kini aktif dalam jelajah dakwah di seluruh pelusuk dunia dan mempunyai murid serta peminat yang ramai dari serata dunia.