Tempatan

Majlis Peguam Gesa Pinda Akta 695, Laksana Cadangan Majlis Raja-Raja Berkaitan JAC

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Disember 2022 – Menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Majlis Peguam menggesa agar cadangan pelantikan lima daripada sembilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) di bawah Akta JAC 2009 (Akta 695) tidak dibuat oleh Perdana Menteri dilaksanakan dengan segera.

Malah, pelantikan itu dikatakan akan diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Menurut Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn, pihaknya percaya pelaksanaan cadangan itu sangat bertepatan serta mampu memastikan kebebasan JAC dalam mengurus tadbir hal ehwalnya sendiri.

“Bagi memastikan proses semak dan imbang, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen boleh terbabit dalam perkara membabitkan isu penting.”

“Kami juga mengambil peluang ini untuk memperbaharui gesaan terhadap pindaan kepada Akta JAC 2009, di mana peruntukan mengenai representasi pihak berkepentingan perlu dilakukan oleh pengamal undang-undang dan Peguam Negara,” katanya.

Majlis Peguam dalam pada itu turut menggesa pemilihan individu di bawah Seksyen 5 Akta JAC 2009 dibuat berdasarkan set kriteria yang bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat demi kebaikan badan Kehakiman dan negara.

“Adalah penting untuk Kerajaan hari ini meneruskan langkah ke hadapan dengan mempunyai kemahuan politik bagi membuat pindaan yang diperlukan kepada Akta JAC 2009 dan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan badan kehakiman yang bebas demi sistem demokrasi yang betul dalam negara.”

“Majlis Peguam bersedia untuk membantu merealisasikan inisiatif ini pada setiap masa,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: