Majlis Agama Islam Perancis Setuju Piagam Sokong Sekularisme
PARIS – Majlis Perundangan Islam Perancis (CFCM) bersetuju untuk menggubal satu ‘piagam prinsip’ menolak penggunaan agama Islam bagi tujuan politik, menggesa persamaan antara lelaki dan wanita serta mengecam amalan kahwin paksa atau bukti masih dara bagi pengantin perempuan.
‘Piagam prinsip’ ini diminta oleh Presiden, Emmanuel Macron dalam usahanya untuk membanteras fahaman mazhab dan keganasan di negara ini susulan insiden seorang guru dipenggal selepas menunjukkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW kepada muridnya.
Presiden CFCM, Mohammed Moussaoui mendakwa, “Piagam ini menegaskan keserasian kepercayaan orang Islam dengan prinsip Republik termasuk sekularisme dan komitmen Islam Perancis terhadap kewarganegaraan yang lengkap.”
CFCM juga menegaskan bahawa mereka menolak ideologi perkauman dan anti Yahudi serta memberi amaran masjid “bukan tempat untuk menyebarkan ucapan nasionalisme bagi mempertahankan rejim asing.”
Sebelum ini CFCM menyatakan bahawa pembunuhan yang berlaku adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan mengaitkannya sebagai serangan pengganas Islam adalah tidak relevan sama sekali.
Insiden guru dipenggal itu berlaku selepas mangsa memprovok dan menghina Islam dengan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW kepada muridnya menggunakan alasan kebebasan mengeluarkan pendapat.