Tempatan

Majikan Dakwa Pembantu Domestik Warga Asing Larikan Barang Kemas Bernilai RM69,000

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 13 September 2022 – Pasangan suami isteri mendakwa pembantu rumah warga asing dikenali sebagai Eka Lestari, 27, telah melarikan diri bersama barang kemas bernilai RM69,000 milik si isteri di Taman Bukit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Assisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suami mangsa yang merupakan seorang doktor, 33, tampil membuat laporan polis apabila menyedari ketiadaan suspek yang digajikan sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen itu kira-kira jam 6 pagi Selasa lalu.

“Namun, ketika itu (semasa buat laporan polis) pengadu dan isterinya tidak menyangka terdapat barangan kemas yang disimpan dalam almari berkunci di sebuah bilik rumah mereka turut dilarikan pembantu rumah terbabit.”

“Dalam almari itu terdapat dua gelang emas, lima rantai emas, empat subang dan loket yang keseluruhannya bernilai RM69,000.”

“Ia hanya disedari isteri pengadu selepas dua hari pengadu membuat laporan polis yang mana pada ketika itu isteri pengadu mahu memakai barang kemas berkenaan tetapi sudah tiada,” ujar Asisten Komisioner Tan Cheng San dalam satu sidang media yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dikesan di rumah jiran, suspek yang baru saja berkhidmat selama tiga bulan itu melarikan diri bersama pasport dan telah dijemput oleh sebuah kereta.

Tambah Asisten Komisioner itu, polis percaya suspek masih berada dalam negara dan usaha menjejaki wanita itu kini sedang giat dilakukan oleh pihak polis.

“Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.”

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan sebarang maklumat yang ingin dimaklumkan boleh berhubung dengan Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di talian 019-2909231.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: