Tempatan

Majikan Cabar Kedaulatan Islam Bila Pukul Pekerja Berpuasa – Ustaz Masridzi

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 April 2021 – “Dalam isu ini, saya selaku Presiden PERKID Malaysia melihat (kes ini sebagai) aspek penghinaan agama. Umat Islam dalam negara kita sedang melakukan amal ibadah. Hanya kerana puasa, dia dipukul dengan teruk,” kata Ustaz Masridzi bin Sat, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID MALAYSIA).

Ujar Ustaz Masridzi, beliau tidak dapat membayangkan bagaimana perkara ini boleh terjadi dalam Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.

“Tak boleh imagine negara Islam boleh jadi macam ini. Majoriti umat Islam. Kes yang belum selesai kes LTTE yang dibebaskan, liberal, kalimah Allah pun macam milik orang bukan Islam. Kita seperti tiada kuasa di negara sendiri.”

Tambah beliau lagi dalam sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini, individu yang memukul pengawal peribadi yang berpuasa itu telah mencabar kedaulatan Islam dengan memainkan nama Tuhan.

“Kerana dia dibelasah isunya puasa. Sampai ke tahap ugut dengan pistol lagi. “Kalau saya tembak, Allah boleh tolong atau tak?”; “Siapa yang bayar gaji you?”. Ini merupakan penghinaan dan merobek hati umat Islam.”

Justeru, Ustaz Masridzi mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa mengunakan undang-undang yang sedia ada bagi menyiasat dan menahan individu yang terlibat.

“KDN harus ambil tindakan. Persoalannya adalah soal agama kita yang dirobek. Tuhan kita dicabar dan dihina bertubi-bertubi. Gunakanlah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA)… Banyak law yang kita ada. Jangan nanti sekejap saja, pastu keluar (dari tahanan).”

Mengakhiri kenyataan, Presiden PERKID ini menegaskan, jika perkara ini tidak dibela, maka jelaslah kerajaan sekarang ini gagal menjaga agama.

“Kalau perkara ini tidak dibela, bagi kita, kerajaan gagal. Sekali lagi kita minta KDN, kesabaran umat Islam terlalu limit dah. Nanti akan berlaku tindakan undang-undang sendiri.”

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button