MAIS Bantah Kerajaan Tarik Balik Rayuan Kes Kalimah Allah
SHAH ALAM, 17 Mei 2023 – “Merujuk kepada keputusan pihak Kerajaan Malaysia dan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri Malaysia yang telah menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian baru- baru ini, pihak MAIS dengan hormat menegaskan bahawa MAIS tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan menarik balik rayuan dalam kes tersebut,” tegas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.
Kata MAIS, pihaknya merasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak Kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini.
BACA JUGA: Kalimah Allah: Kenyataan Anwar Ibrahim Salah – Haniff Khatri
BACA JUGA: Pahang Lulus RUU Tarekat
BACA JUGA: 99 Kawasan Sekitar Selangor Alami Gangguan Bekalan Air Isnin Ini
Tegas majlis agama itu, sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam yang bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Negeri Selangor, MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Negeri Selangor.
“Dalam titah Baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekalipun tetap dilarang penggunaannya di Negeri Selangor.”
“Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.”
Namun begitu, Baginda tiada halangan sekiranya perkataan “Tuhan digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God” dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian, tambah MAIS.
Bukan itu sahaja, “MAIS juga mengulangi kenyataan MAIS sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010.”
Oleh itu, MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di Negara ini memutuskan isu ini secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.