MAINS Nafi Salah Guna Duit Zakat, Isu Lama Dituduh Semula
SEREMBAN, 12 Februari 2023 – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sekali lagi menafikan dakwaan penyelewengan wang zakat selepas dituduh serupa pada tahun 2019.
Pengerusi MAINS, Datuk Seri Abdul Aziz Syeikh Ab Kadir berkata, “Kami ingin menafikan sekeras-kerasnya fitnah di media sosial kononnya MAINS telah menyeleweng wang zakat.”
Menurut beliau, apabila dakwaan itu mula dibuat pada 2019, MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial tersebut sekali gus bekerjasama dengan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menafikan tuduhan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Kerajaan Negeri terlibat dalam penyelewengan wang zakat.
BACA JUGA: Gempa Bumi: Kementerian Luar Negeri Lancar Kempen Sumbangan Kemanusiaan
BACA JUGA: 50% Warga Malaysia Gagal Capai ‘Minimum Living Wage’
BACA JUGA: Mungkin Perlu Tunggu Menteri Agama Kelima Selesaikan Isu Elaun Guru KAFA – CIJ
Beliau juga meluahkan kekecewaannya terhadap fitnah tersebut, yang masih disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan peribadi.
Tegas Abdul Aziz, “MAINS, sebagai badan berkanun di bawah naungan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sentiasa memastikan pengurusannya mematuhi konsep ketelusan, akauntabiliti dan integriti tinggi dalam semua aspek tadbir urusnya.”
Susulan kejadian itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mengesahkan apa yang dibaca di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain.