Tempatan

Mahkamah Tinggi KL Perintah Nama Dan Gambar Anak-Anak Loh Tidak Didedahkan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2022 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan satu perintah halangan ke atas media untuk tidak mendedahkan mahupun melaporkan nama, gambar dan identiti anak-anak Loh Siew Hong dalam sebarang bentuk dan cara.

Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters memutuskan demikian selepas peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memohon secara lisan supaya identiti dan gambar tiga anak itu tidak didedahkan bagi menjaga kebajikan anak-anak berkenaan.

“Demi kepentingan ketiga-tiga anak bawah umur itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah mengeluarkan satu perintah halangan terhadap kesemua media biasa dan media sosial dalam apa bentuk atau cara sekalipun untuk tidak dedahkan dan tidak laporkan nama (nama asal atau nama terkini), gambar dan identiti ketiga-tiga anak berkenaan, berkuatkuasa secara prospektif, iaitu mulai dari hari ini,” kata Haniff Khatri di laman Facebooknya.

Tambah pengamal undang-undang terkemuka itu, mahkamah juga menetapkan tarikh pendengaran permohonan MAIPs untuk mencelah dalam petisyen perceraian antara Loh dan Muhammad Nagashwaran Muniandy pada 29 April, 10.30 pagi secara fizikal.

“Pada hari ini, 17.03.2022, permohonan pencelahan MAIPs itu telah dipanggil untuk pengurusan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan setelah pemberian arahan-arahan berkaitan tatacara pemfailan kertas kausa lanjut dan Penghujahan Bertulis, maka ianya telah ditetapkan untuk bicara secara fizikal pada 29.04.2022.”

Terdahulu, MAIPs telah memfailkan suatu permohonan untuk mencelah di dalam petisyen perceraian di antara Loh Siew Hong dengan suaminya Nagahswaran a/l Muniandy (yang kini telah memeluk Islam bersama dengan tiga orang anak-anak mereka, dan memakai nama Muhammad Nagashwaran bin Muniandy).

Permohonan difailkan melalui Tetuan Chambers of Zainul Rijal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mac 2022.

Permohonan mencelah ini difailkan oleh MAIPs, supaya MAIPS mempunyai locus standi untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal tersebut.

Leave a Reply

Back to top button