Tempatan

Mahkamah Syariah vs Sivil: Jadual Kesembilan Perlu Dipinda – Datuk Salleh Buang

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PETALING JAYA, 29 Mac 2021 – Pakar Perlembagaan, Datuk Salleh Buang berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan merupakan jalan menyelesaikan masalah pertindihan antara perundangan syariah dan sivil.

“Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berhubung hal ehwal Islam kini terlalu sempit sehingga membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan membuka ruang ia dicabar.”

“Maka ia wajar dipinda dengan membuka takrifan lebih meluas terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah sekali gus dapat mengelakkan pertindihan antara perundangan syariah dan sivil.”

Ujarnya lagi, kerajaan negeri justeru itu perlu melakukan kajian untuk menyelamatkan Enakmen Jenayah Syariah masing-masing daripada terus dicabar dan akhirnya diketepikan.

“Kalau ikutkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang baharu ini, semua seksyen dalam enakmen jenayah Syariah seluruh negeri boleh dicabar. Tetapi setakat ini hanya membabitkan negeri Selangor sahaja.”

“Hal ini kerana mengikut hierarki, undang-undang negeri tidak boleh menyalahi undang-undang Persekutuan apatah lagi berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Tegas beliau, umat Islam tidak boleh dipersalahkan jika cuba meminda Jadual Kesembilan. Apa yang salah adalah jika tiada usaha untuk menambah baik taraf Mahkamah Syariah.

“Masalahnya kita tidak pernah cuba untuk pinda Jadual Kesembilan. Kita tidak boleh dipersalahkan jika gagal, namun boleh dipersalahkan sekiranya tidak pernah mencuba.”

Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu membenarkan permohonan Iki Putra Mubarak mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sekali gus mengetepikan perundangan itu yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah syariah.

Iki Putra didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan meliwat di Bangi, Selangor.

Dia mencabar peruntukan Seksyen 28 itu dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

 

Leave a Reply

Back to top button