Mahkamah Putuskan Mantan MP Klang DAP Bersalah, Fitnah Zakir Naik
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2023 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati mantan Ahli Parlimen Klang DAP, Charles Santiago, bertanggungjawab atas tuduhan memfitnah pendakwah, Dr Zakir Naik dalam satu kenyataan pada Ogos 2019.
Lapor portal tempatan, defendan, pada akhir 2019 telah membuat kenyataan mengaitkan plaintif dengan penahanan besar-besaran 12 individu ketika itu berhubung siasatan pihak berkuasa Malaysia terhadap dakwaan kaitan LTTE.
BACA JUGA: Setiap Kerajaan Gagal Dalam Kes Kalimah Allah – Haniff Khatri Abdulla
BACA JUGA: Takungan Air Di Empangan Selangor Bertahan Hanya 4 Bulan Tanpa Hujan – MB
BACA JUGA: Perubahan Iklim: Lebih Separuh Tasik Dunia Mengering
Menurut Hakim Akhtar Tahir, kenyataan defendan berkenaan LTTE, yang dilaporkan dalam portal berita Free Malaysia Today bertajuk “Kritikan Zakir Naik mungkin membawa kepada penahanan LTTE, kata MP”, adalah fitnah kerana ahli DAP itu tidak menyemak faktanya sebelum ini.
“Mahkamah mendapati bahawa walaupun kenyataan itu adalah luahan pendapat defendan, ia bersifat spekulatif dan belum disahkan dalam apa-apa cara mahupun sebarang bukti yang dibawa ke mahkamah oleh defendan untuk membuktikan kesahihannya,” kata Hakim Akhtar Tahir.
Beliau kemudian memanggil Zakir dan Charles, yang hadir semasa prosiding, tampil ke hadapan dan meminta defendan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan LTTE.
Namun, menurutnya, Zakir hanya berhak menerima permohonan maaf daripada Charles dan bukannya ganti rugi kerana kenyataan LTTE itu tidak mencemarkan imej dan reputasi plaintif.
Hakim Akhtar turut memutuskan bahawa setiap pihak harus menanggung kos perundangan mereka sendiri.