Mahkamah Persekutuan Tetap 10 Jan, Kes Cabar Pengampunan PM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 28 Disember 2022 – Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 Januari sebagai tarikh mendengar permohonan seorang peguam untuk meneruskan rayuan bagi mengembalikan saman mencabar kesahihan pengampunan diraja Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Tarikh perbicaraan itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mazuliana Abdul Rashid hari ini dengan kehadiran peguam J Leela mewakili Anwar dan Azureen Ibrahim bagi pihak Mohd Khairul Azam, lapor portal tempatan.
Pada 21 September tahun lalu, peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memohon kebenaran merayu selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan rayuan Anwar untuk membatalkan saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri itu dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Khairul telah memfailkan saman pemulanya pada 26 Februari 2020, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14 akan berlangsung ketika itu.
Dakwanya, pengampunan yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan kerana kuasa pengampunan perlu dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan yang belum dibentuk secara rasmi.
Sehubungan itu, pada 21 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula selepas mengesahkan Mohd Khairul Azam mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan sama itu.
Ia juga diputuskan kerana Khairul berkelayakan sebagai peguam, merupakan ahli masyarakat umum serta wujud isu yang boleh dibicarakan dan harus didengar sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar dengan menetapkan keputusan dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja yang tidak boleh diubah atau disahkan oleh mahkamah.
Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun berikutan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 10 Februari 2015.